Tinjauan ADUN Dapati Tiada Kegiatan Korek Pasir di Perairan Kerian

Reading Time: < 1 minute

KUALA KURAU | Kerajaan negeri mengesahkan tiada kegiatan mengorek pasir dijalankan di perairan Kerian sehingga kini.

Namun begitu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari, kerajaan menerusi semua agensi yang terbabit sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan kawasan perairan Kerian bebas dari sebarang kegiatan mengorek pasir haram.

“Ini memberi kelegaan kepada hampir 6,000 nelayan di daerah Kerian yang selama ini bergantung hidup mencari nafkah menangkap ikan di perairan Kerian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian Sumbangan Skim Tabarruq peringkat DUN Kuala Kurau di Pusat Khidmat Harapan, Jalan Pantai, Kuala Kurau pada Khamis.

Semalam Abdul Yunus turun ke lapangan meninjau kawasan perairan Kerian bersama pegawai-pegawai dari beberapa agensi terbabit.   

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak termasuk nelayan dan badan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya menerima maklumat berhubung kegiatan mengorak pasir haram di perairan Kerian.

Sebelum ini, terdapat bantahan daripada nelayan terhadap Projek Penang South Reclamation (PSR) yang bakal dijalankan di bahagian selatan perairan Pulau Pinang yang dijangka memberi kesan terhadap alam sekitar dan ekosistem.

Sekiranya diteruskan, kesannya bukan sahaja membabitkan nelayan di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang di Pulau Pinang tetapi lebih 6,000 nelayan di Perak akan terjejas.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Abdul Yunus berkata, Skim Tabarruq membuktikan keprihatinan kerajaan hari ini dalam membantu rakyat semua kaum terutama golongan B40.