Kumpulan Penyokong Reformasi Desak MB Arah EXCO Bercuti

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Pertubuhan Rangkaian Organisasi98@Reformasi Malaysia Cawangan Perak hari ini mengadakan perhimpunan aman mendesak Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengarahkan dua Exco yang sedang disiasat atas dakwaan rogol dan membocorkan maklumat kerajaan bercuti sementara siasatan dijalankan.

Setiausaha pertubuhan itu, Sazali Shamsudin berkata, pihaknya menggesa kedua-dua Exco negeri tersebut iaitu Paul Yong Choo Kiong dan Abdul Yunus Jamhari bercuti dari menjalankan tugas hakiki buat sementara waktu.

Menurutnya, kedua-dua exco berkenaan tidak harus menjadikan Menteri Besar sebagai perisai mempertahankan diri dari siasatan.

“Tindakan ini penting bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi serta menjadikan Menteri Besar sebagai perisai pertahanan,” katanya.

Tegasnya lagi, pemimpin yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku dan sedang disiasat oleh PDRM serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar bercuti sementara dari menjalankan tugas-tugas rasmi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum mempertahankan integriti dalam kerajaan Pakatan Harapan Perak kepada Pegawai Tadbir Pejabat Menteri Besar Perak, Hanita Alang Ismail di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Awal bulan ini seorang bekas pembantu rumah kepada Adun Tronoh, Paul Yong membuat laporan polis terhadap beliau atas dakwaan merogol manakala Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus didakwa membocorkan maklumat mesyuarat kerajaan negeri untuk tujuan menerima habuan dari dua syarikat yang mendapat projek pertanian dari maklumat tersebut. Paul Yong menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa ia fitnah yang sengaja direka manakala Abdul Yunus mendakwa tuduhan dibuat oleh kumpulan tertentu dalam PKR untuk menjatuhkan beliau memandangkan beliau adalah penyokong kuat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Semalam dalam satu sidang media di Kuala Kurau, Abdul Yunus bertegas beliau tetap berpendirian bahawa seseorang itu kekal tidak bersalah selagi dia tidak dibuktikan bersalah. Oleh itu, menurutnya, tidak ada sebab mengapa beliau perlu bercuti dari menjalankan tugas-tugas sebagai wakil rakyat dan anggota exco kerajaan.