Nasi Ganja Antara Jenis Makanan di FAMA Fest 2019

  • 8
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

GOPENG | Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak mensasarkan nilai jualan sebanyak RM3 juta menerusi penganjuran Program Fiesta Buah, Bunga dan Makanan 2019 atau FAMAFest pada tahun ini.

Timbalan Pengarah Pembangunan FAMA negeri, Idris Tahir berkata sasaran itu berdasarkan pencapaian nilai jualan sebanyak RM2.2 juta yang diperoleh tahun lepas.

Beliau berkata kira-kira 330,000 orang dijangka mengunjungi festival itu yang akan diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini bermula 25 hingga 29 Julai ini.

“Sebanyak 808 jenis makanan dan minuman popular dari Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan diketengahkan kali ini seperti ais milo kepal, rojak pasembor, apam balik 46 perisa, masak lemak cili api, nasi dagang, nasi ganja, daging salai, kacang pool serta laksa sarang.

“Selain itu, sebanyak 818 spesies orkid flora dan fauna serta 88 tan metrik buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan, langsat, cempedak serta manggis akan dijual sepanjang festival yang berlangsung selama lima hari itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Idris berkata pelbagai pameran dan jualan ikan hiasan serta haiwan peliharaan turut dijual pada festival itu selain persembahan dan acara pentas seperti ceramah agama, dikir barat, persembahan buskers disediakan kepada para pengunjung.

Beliau berkata FAMAFest yang dianjurkan setiap tahun mampu meningkatkan pendapatan petani dan usahawan selain memastikan produk pertanian dan industri asas tani boleh diperoleh pada harga mampu dibeli oleh pengguna.

“Saya berharap orang ramai jangan lepaskan peluang dengan datang beramai-ramai ke FAMAFest kali ini dan kerana pelbagai produk makanan, buah-buahan, sayur-sayuran, floriktur dan landskap dijual pada harga yang sangat berpatutan,” katanya.

— BERNAMA