Jangan Guna Masjid Untuk Kepentingan Politik – Asmuni

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi mengakui kesemua pemimpin enam parti di negeri ini telah dititahkan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung penyalahgunaan masjid oleh parti-parti politik, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri itu berkata, Sultan Nazrin telah menzahirkan keinginan baginda untuk melihat masjid kembali kepada matlamat asal dan bebas daripada politik.

“Tuanku bertitah, kalau hendak berbuka puasa dan sampaikan sumbangan, buatlah tetapi tidak berbaur politik, mempunyai hubungan politik dan memasang gegantung politik. Sebab itu tuanku kata bagi sahajalah (sumbangan), tak payah berucap.

“Sekiranya berlaku lagi, seperti dititahkan tuanku, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau itu akan digantung, dibuat siasatan serta mungkin kalau didapati melakukan pelanggaran kepada peraturan yang ada, mereka akan ditukar,” katanya ditemui pada program membeli-belah baju raya melibatkan 100 orang anak yatim dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut yang julung kalinya diadakan di Mydin Manjoi, hari ini.

Asmuni berkata, lima lagi pemimpin parti yang dipanggil menghadap Sultan Nazrin di Istana Iskandariah pada petang semalam ialah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria.

Penyalahgunaan masjid pada akhir-akhir ini di bulan Ramadan, khususnya oleh UMNO dan PAS dengan membawa lambang parti, telah menimbulkan rasa kurang senang kepada penduduk setempat.

Menurut Asmuni, tidak salah sekiranya mereka diundang untuk menyampaikan sumbangan tetapi bukan membawa program parti ke masjid.

“Apa yang berlaku sekarang ini, mereka hendak buat tadarus al-Quran pun pasang, gantung, lambang UMNO dan PAS seolah-olah masjid ini tempat untuk mempromosikan parti masing-masing.

“Baru-baru ini Wanita UMNO adakan mesyuarat agung tahunan di masjid,” katanya.

Asmuni berkata, dengan titah mengadap Sultan Nazrin melibatkan kesemua pemimpin parti politik itu, beliau mengakui lega kerana tiada lagi tekanan kepadanya sebagai Exco agama berhubung perkara tersebut