Aziz Bari Kerah PBT Siasat Laporan Lambakan Sampah di Perak

Reading Time: 2 minutes

EXCO Alam Sekitar negeri, Abdul Aziz Bari meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan siasatan segera dakwaan sebuah portal berita luar negara, Daily Mail kononnya berlaku lambakan sampah-sarap termasuk plastik yang menggunung di kawasan terpencil di negeri Perak.

Beliau yang juga EXCO Teknologi, Pendidikan dan Sains berkata amat terkejut membaca laporan portal berita tersebut yang mendedahkan bagaimana sampah sarap plastik itu boleh dibawa masuk ke negara ini.

Menurut laporan portal berita dari United Kingdom tersebut, longgokan sampah yang mencecah setinggi 20 kaki (kira-kira 6 meter) ‘sejauh mata memandang’ terletak jauh di kawasan pedalaman di negeri Perak.

“Ia ibarat mimpi buruk … sebuah planet plastik,” kata penyampai berita TV di negara itu.

Bagaimanapun, menurut portal tersebut, ‘bencana’ alam sekitar yng terletak sejauh 6,500 batu dari negara mereka mempunyai tanda-tanda dan petunjuk ia datang dari konsumer di negara mereka.

Plastik berjenama produk biasa di UK
Cef selebriti menemui beg kitar semula berjenama pihak berkuasa tempatan UK, mencadangkan bahawa konsumer tertipu kononnya dengan penuh tanggungjawab mengisi tong hijau mereka dengan kepercayaan mereka membantu memelihara alam sekitar.

Bagi warga Perak, ia mungkin tidak pernah meihatnya tapi bagi warga UK, tidak sukar untuk mengenal pasti jenama-jenama dan logo-logo yang biasa terdapat di UK.

Malahan lebih buruk lagi, terdapat beg kitar semula berjenama pihak berkuasa tempatan (di UK) mencadangkan pengguna telah dibohongi kononnya mereka mengisi tong hijau dengan kepercayaan mereka turut menjadi sebahagian yang membantu memelihara alam sekitar.

“Saya terkejut macam mana benda itu boleh masuk ke dalam negara, ia amat memalukan jika benar-benar berlaku.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar dan agensi di bawah saya siasat dan tengok perkara ini.

“Walaupun PBT bukan di bawah saya, tapi saya yakin kerajaan negeri dan agensi di bawahnya akan dapat bekerjasama melihat serta mencari punca mengapa dan bagaimana lambakan itu boleh berlaku,” katanya kepada pemberita selepas program memasak bubur lambuk anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini hari ini.