IPOH: Longgokan timbunan sisa plastik sampah yang kononnya diimport dari negara luar sebagaimana didakwa sebuah agensi media merupakan tapak bahan buangan sisa plastik yang ditempatkan sementara sebelum diproses menjadi bahan bakar alternatif.
Justeru itu Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak (JAS), Norazizi Adinan menjelaskan tidak ada longgokan timbunan plastik sampah dari negara luar yang dibawa masuk ke negeri ini.
“Semua sisa plastik bahan buangan industri yang ada di sini adalah dari negara ini sendiri.
“Kita menerima setiap bulan senarai 40 jenis industri yang menghantar bahan buangan bukan toksik ke sini untuk dikitar semula dan dijadikan bahan bakar alternatif kepada kilang simen di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke kawasan Perindustrian IGB, Tasek yang dikatakan tempat pengumpulan sampah import pada Selasa.
Norazizi berkata, dakwaan kawasan tapak itu yang terletak di pedalaman hutan adalah tidak benar sama sekali.
“Kita memang menerima senarai daripada pihak syarikat, kesemua industri bersama dengan jisim dan berat bahan yang sampai ke sini, kita pantau,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tapak bahan buangan itu adalah sah dan mematuhi undang-undang.
“Saya difahamkan bahawa ada media antarabangsa datang ambil gambar dan tidak mendapatkan penjelasan daripada syarikat ini, mungkin dipercayai untuk memberi tekanan kepada kerajaan mereka untuk membuat sesuatu tentang masalah pengeksportan plastik.
“Ini adalah kawasan simpanan sementara yang akan berakhir atau dipindahkan pada hujung tahun,” katanya.
Baru-baru ini sebuah agensi media antarabangsa melaporkan terdapat timbunan plastik sampah setinggi 20 kaki di pedalaman hutan negeri ini berasal dari bahan buangan sampah dari pasaraya di United Kingdom.
Dakwaan itu diperkuatkan dengan penemuan plastik yang mempunyai cop, jenama dan logo syarikat serta pihak berkuasa negara itu.