Jumlah Bendera Bukan Petunjuk Aras Sokongan – Zahid

Reading Time: < 1 minute

Bagan Datuk – “Jangan jadikan jumlah bendera sebagai tanda aras sokongan,” kata Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, ini kerana bendera itu dipasang oleh pekerja upahan.

“Tunggu kita akan banjirkan bumi Bagan Datuk dengan kibaran bendera BN, billboard dan poster serta lain-lain bahan kempen sebagai tanda bahawa Barisan Nasional mendapat sokongan yang kuat daripada pengundi Bagan Datuk kerana yang menyayangi saya ialah pengundi Bagan Datuk.

“Pengundi mahu anak tempatan yang tahu cita rasa apa yang diperlukan oleh rakyat khususnya dari segi pembangunan,” katanya.

Zahid berkata BN memberikan pemekanan terhadap masalah kos sara hidup rakyat kerana pada suku pertama tahun hadapan dijangka akan berlaku krisis ekonomi dunia.

“Apabila BN menubuhkan kerajaan secara mutlak bersama rakan parti komponen, akan menentukan bahawa kestabilan politik harus diwujudkan semula di negara kita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Jalinan Rakyat Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini.