Isu Lapok Perkauman, Agama Dikitar Semula Tiap Kali PRU

Reading Time: < 1 minute

Chemor – Isu perkauman dan agama yang dilemparkan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah isu basi murahan yang ‘dikitar semula’.

Seorang veteran PKR, Datuk Bakeri Abdul Rahim berpendapat kedua-dua isu ini sengaja dimomokkan untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu di Parlimen Tambun sebagai modal bagi meraih undi rakyat.

“Namun saya optimis para pengundi termasuk pengundi muda tidak mudah termakan hasutan dan fitnah pihak lawan, ” katanya kepada Independent.

Bakri yang telah berjuang bersama-sama Anwar sejak tahun 90-an berpendapat rakyat sudah muak dengan permainan kotor pihak lawan yang kini semakin terdesak dalam kempen mereka untuk meraih sokongan rakyat.

Beliau berkata sudah tiba masanya sistem dan dasar pentadbiran negara dirombak supaya lebih telus dan ikhlas dalam membela nasib dan masa depan rakyat.

Beliau sedih dan kecewa kerana belum pernah dalam sejarah negara berlaku warga mengibar bendera putih semasa wabak Covid-19 dan paling malang berlaku banyak kes kematian akibat bunuh diri, lebih-lebih ia berlaku di kalangan orang Islam.

“Sudah tiba masanya rakyat bangkit merubah sistem pentadbiran negara kepada satu dasar baru yang lebih berkesan sekaligus membela nasib rakyat berbilang kaum di negara ini.

Bakeri ditemui semasa majlis ramah mesra Pertubuhan Kebajikan Amal Yaqin Bersaudara Ipoh Perak di sini pada Sabtu. Beliau merupakan Penasihat kepada pertubuhan itu.