Perak Akan Jadi Kubu Baru PH

Reading Time: < 1 minute

Chemor – Pakatan Harapan (PH) akan menjadikan Tambun dan negeri Perak sebagai kubu baru dalam agendanya untuk meningkatkan ekonomi negeri dan rakyat.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan jaminan ini berkata, Perak memiliki potensi besar ke arah itu apabila PH menerajui pentadbiran negeri nanti.

Beliau optimis Perak mampu digerak dan dibangunkan di bawah satu sistem pentadbiran yang telus dan mantap.

“Saya yakin dengan menjadikan Perak sebagai kubu baru di bawah sistem pentadbiran yang telus, taraf ekonomi negeri dan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih baik,” katanya pada perjumpaan bersama penduduk Ulu Chemor pada Sabtu.

Beliau menambah sistem pentadbiran yang ada hari ini tidak dapat menjaga kebajikan rakyat sebaliknya pemimpin lebih menjaga kepentingan peribadi, anak beranak serta kroni mereka sahaja.

Menurutnya lagi, mereka yang menceburi bidang politik hari ini hanya mahu mengejar jawatan dan habuan semata-mata, semangat untuk membela rakyat sudah tidak ada lagi.

“Sudah beberapa tahun harga barang terus naik tetapi gaji tak naik, rakyat hidup dalam kesempitan tetapi kerajaan pula tambah 70 menteri, tambah duta khas…apa mereka buat untuk selesaikan masalah rakyat?” soal Anwar.

Di akhir ucapan, beliau mengulangi memohon kerjasama pengundi untuk membantu menjadikan Tambun dan negeri Perak sebagai kubu baru PH. Majlis yang dinamakan “Melayu Tambun Bangkit” itu dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Amal Yaqin Bersaudara Ipoh Perak. Turut hadir pada majlis itu ialah calon PH bagi DUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat.