Pilih Pemimpin Yang Baik, Tolak Mereka Yang Korup – DSAI

Reading Time: < 1 minute

TAMBUN – Pengundi di Parlimen Tambun diminta terus memberi semangat dan sokongan mantap kepadanya menjelang hari penamaan calon.

Katanya, sokongan dan semangat jitu ini diharapkan dapat kekal bagi membawa kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini.

Beliau turut mengingatkan pengundi Tambun supaya tidak termakan hasutan serta fitnah jahat pihak lawan sebagai modal politik mereka.

Isu yang sedang dimainkan mereka sekarang ini ialah DAP itu ‘komunis’.

“Kalau betul DAP itu komunis, buat laporan polis dan tangkap.

“Selama 3 tahun mereka menjadi kerajaan kenapa mereka tidak berbuat apa-apa (jika benar dakwaan mereka itu),” soal beliau.

Tambahnya lagi, lebih mendukacitakan, harga barang semakin naik, gaji menteri juga semakin naik, kerja tidak buat selain kerja mereka memfitnah orang lain, menuduh Anwar Yahudi, DAP komunis.

Beliau turut mencabar mana-mana pemimpin hari ini adakah mereka berani membuat kenyataan umum bahawa mereka tidak pernah ambil satu sen pun dari hasil balak, kontrak ataupun saham.

Memberikan contoh ular sawa yang sekali makan akan berehat seminggu, pemimpin yang korup lebih teruk dari ular sawa kerana tak pernah bercuti dari mengambil rasuah setiap hari.

Beliau berkata rakyat harus memilih pemimpin yang menunjukkan contoh yang baik. Contoh yang terbaik seharusnya datang dari pemimpin yang tidak mencuri wang rakyat, yang beri keutamaan kepada penyelesaian masalah rakyat seperti peningkatan harga barang.

Anwar hadir meluangkan masa menemui penduduk Taman Perpaduan dalam majlis ramah mesra dalam jadual yang padat pada Jumaat ditemani calon DUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat.