IPOH | Bidang kartun bukan sekadar suatu bidang untuk hiburan jenaka di masa terluang tapi ia memainkan peranan yang lebih penting dari itu iaitu untuk menjana ekonomi kepada sesebuah negara.
Demikian menurut EXCO Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, YB Tan Kar Hing dalam ucapan perasmian program Perak Cartoon Fest 2019 (PECAF) di Pusat Karyawan PORT di sini hari ini.
Menurutnya, kartun adalah satu seni visual yang boleh membawa impak yang sangat besar kepada rakyat Malaysia terutama golongan muda.
“Bukan setakat itu, bidang kartun memiliki banyak cabang-cabangnya yang tersendiri seperti lukisan, animasi, cosplay, permainan dan sebagainya,” katanya.
Beliau memberikan contoh negara Jepun dimana industri kartun animasi dan cosplay merupakan salah satu industri yang memberikan sumbangan yang besar dalam ekonomi negara itu.
“Sukan Olimpik yang bakal berlangsung di Tokyo nanti, bahan promosi mereaka kebanyakannya dalam bentuk kartun.
“Setiap negara peserta akan membawa satu simbol kartun yang mewakili delegasi negara itu,” ujarnya.
Beliau juga mengakui bahawa kartun turut digunakan untuk menyindir ahli-ahli politik bukan hanya di Malaysia malah di luar negara.
“(Barack) Obama juga kena perli melalui kartun.
“Saya alu-alukan kalau ada kartunis yang hendak lukis gambar saya, perli saya … tak mengapa, baik atau tidak, ia adalah satu kebanggaan bagi saya,” katanya.
Beliau dalam ucapannya itu menyatakan bahawa kerajaan negeri melalui PORT memainkan peranan penting untuk mengumpulkan bakat-bakat dalam bidang kartun ke dalam satu direktori supaya mereka yang di dalam bidang itu dapat dikenal pasti, diketengahkan mengikut bidang kepakaran masing-masing sama ada lukisan animasi, cosplay, permainan dan sebagainya.
“Yang penting, kita kena ada satu penerbitan, direktori dalam bidang ini dan kalau boleh saya nak minta Puan Hanim supaya di tahun depan dalam program yang sama kita boleh lancarkan direktori itu dengan PORT dan PEKOMIK,” menurut Tan Kar Hing.
Selain pameran lukisan oleh para kartunis dan pertunjukan cosplay watak anime, PECAF 2019 turut menempatkan pameran koleksi komik tahun 40-an sehingga 60-an yang dikumpulkan oleh penulis Rudi Mahmood.
Selain Nur Hanim Khairuddin sebagai Pengurus Besar PORT merangkap tuan rumah, turut hadir dalam program perasmian hari ini ialah kartunis terkenal Dato’ Md Nor Khalid atau Lat, kartunis majalah Gila-Gila, Boy PJ, Presiden Penggiat Komik Malaysia (PeKOMIK), Encik Mior Azhar dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md Taib.