IPOH: Tugas pegawai dan anggota PDRM dalam segenap peringkat pentadbiran terutama Trafik sememangnya diakui terbaik dalam menangani kes-kes kemalangan yang melibatkan orang awam.
Justeru pujian dan penghargaan seharusnya mereka terima setimpal dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dalam memastikan pelaksanaan undang-undang bagi kesalahan trafik berjalan dengan berkesan.
Namun melihat kepada suasana dalaman bangunan Balai Trafik Ipoh yang boleh dianggap sudah uzur seperti keadaan dinding yang semakin usang, kusyen-kusyen lama yang masih lagi digunakan untuk kemudahan orang ramai perlu diberi perhatian oleh pihak atasan. Sudah sampai masanya pejabat kontinjen polis trafik Ipoh mendapat kemudahan pejabat yang lebih baik dari sedia ada.
Orang ramai yang berurusan seharian dengan pegawai dan anggota Balai Trafik Ipoh ada yang tidak selesa dan tidak percaya apabila merasai dan melihat sendiri suasana sebenar apabila berada di dalam bangunan pejabat itu.
Malah mereka sependapat mengatakan perkhidmatan terbaik yang diberikan oleh pegawai dan anggota polis Trafik kepada orang ramai wajar dibalas dengan kemudahan kelengkapan pejabat baharu yang lebih moden dan sempurna, bak kata kiasan `lebih sedap mata memandang’.
Apapun orang ramai yang berurusan saban hari hanya mampu memberikan ulasan dan pandangan positif mereka dengan penuh harapan semoga suasana dalaman pejabat yang lebih sempurna disediakan untuk pegawai dan anggota Trafik ini.
Bak kata slogan `Kepimpinan Melalui Teladan’ yang pernah diungkapkan dahulu oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed harus dikembalikan kegemilangannya.