Kellie’s Castle Antara Destinasi Terbaru Bas Ho-Ho

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Enam lokasi terbaru perkhidmatan Bas Ho-Ho ditambah iaitu Tambun, gua Sam Poh Tong, Gopeng, Kellie’s Castle dan Silveritage Medan Gopeng.

Penambahan lokasi itu akan bermula 23 November ini, menurut Exco Pelancongan Perak, YB Tan Kar Hing selepas acara pelancaran HoHo Bus Out Circuit di Pentas Utama Expo Antarabangsa Perak (PIEX) 2019di Stadium Indera Mulia hari ini.

“Perkhidmatan lokasi baru ini pelancong akan dapat menikmati keindahan kawasan menarik di sekitar Ipoh.

“Bagi pengenalan lokasi baru ini, kita memperkenalkan harga promosi sehari perjalanan tanpa had bagi warga tempatan RM12 (bagi dewasa) manakala RM10 bagi kanak-kanak, OKU (orang kelainan upaya) dan warga emas.

“Bagi perjalanan dua hari tanpa had bagi dewasa, warga tempatan pula dikenakan RM20 manakala kanak-kanak, OKU dan warga emas hanya membayar RM10. Tempoh promosi ini sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Menurutnya lagi, pelancong yang menikmati perjalanan dengan Bas Ho-Ho ini akan turut diberi penerangan berkenaan lokasi yang dituju dari pemandu pelancong terlatih.

Difahamkan, sejumlah tiga buah bas Ho-Ho disediakan untuk perkhimatan ini dengan kekerapan enam kali perjalanan dalam sehari. 

Sebelum ini, perkhidmatan Bas Ho-Ho membawa pelancong ke 12 destinasi bermula dari Terminal Meru Raya melalui Taman Tema MAPS dan berakhir di Masjid Panglima Kinta, Ipoh.