Lebih 1,000 anggota polis bertugas sempena MRTM Deepavali di Ipoh

Reading Time: < 1 minute

IPOH, 13 Nov– Polis Perak menempatkan seramai 1,080 pegawai dan anggota dalam pelaksanaan tugas kawalan serta lalu lintas sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2019 di sini, Sabtu ini.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata penganjuran majlis rumah terbuka tersebut akan diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh bermula pukul 10 pagi dan dijangka berakhir 12 tengah malam.

Beliau berkata polis dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia bertanggungjawab bagi mengetuai Jawatankuasa Keselamatan dan Lalu lintas ke atas semua aspek keselamatan serta kelancaran lalu lintas sepanjang majlis berlangsung.

Tambahnya, lima agensi turut membantu dalam melaksanakan penugasan sepanjang majlis berlangsung iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak; Jabatan Kesihatan Negeri Perak; Majlis Bandaraya Ipoh; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Perak dan Jabatan Sukarelawan Malaysia Negeri Perak.

“Beberapa jalan akan dilencongkan atau ditutup bagi mengawal aliran lalu lintas supaya kesesakan dapat dikawal sepanjang majlis tersebut berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Razarudin berkata antara jalan yang ditutup sepenuhnya selama dua hari bermula Jumaat ialah Jalan Persiaran Bandaraya, manakala beberapa bahagian di Jalan Sultan Abdul Jalil akan ditutup atau dilencongkan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memberikan kerjasama dan mematuhi setiap peraturan dan nasihat polis selain parkir kenderaan khusus bagi pengunjung telah disediakan di beberapa lokasi.

“Pada keseluruhannya, persiapan dan persediaan yang telah dirancang secara bersepadu bersama-sama dengan semua agensi di bawah jawatankuasa dan akan dilaksanakan pada tahap tertinggi dengan harapan tiada apa-apa insiden yang boleh menganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang majlis berlangsung,” katanya.

— BERNAMA