Kempen Tanpa Plastik Dalam Sokongan Semua Kerajaan Negeri

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR | Kempen Tiada Beg Plastik bagi meningkatkan penghayatan sayangi alam sekitar mendapat sokongan dari semua kerajaan negeri di negara ini.

“Ahli-ahli Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 yang bermesyuarat pada 18 Nov telah meluluskan Kertas Cadangan Pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibentangkan KASA, “kata Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dalam kenyataan pada Khamis, 19 Nov.

“MNKT turut bersetuju meluluskan pelaksanaannya di semua premis seluruh negara dengan mengenakan caj minimum 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikan kepada pelanggan di kaunter pembayaran, “katanya.

Caj ini berpandukan prinsip ‘user-pay-principle’ yang bertujuan menghindari penggunaan plastik sekali guna. Kutipan dari caj itu perlu diserahkan kepada PBT untuk digunakan bagi aktiviti kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat. 

Pelaksanaan program berbentuk kempen itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Fasa 1, mulai Dis 2020 hingga 2021 dengan pelaksanaan bertumpu kepada premis kekal iaitu pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian dan farmasi.

Pelaksanaan Fasa 2 (2022-2025) pula akan diperluaskan kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya.

“Usaha ini selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang bertujuan membendung pencemaran plastik sekali guna dan beralih kepada alternatif lain yang lebih mesra alam,” katanya. 

Orang ramai adalah digalakkan untuk membawa beg guna semula semasa membeli-belah dalam usaha bersama melestarikan alam sekitar.