Kerajaan Akan Teliti Kemampuan Syarikat Pemaju Perumahan Elak Projek Terbengkalai

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Kerajaan negeri akan meneliti secara terperinci kebolehan dan kemampuan syarikat pemaju perumahan bagi mengelak berlakunya projek terbengkalai sehingga menyusahkan rakyat khasnya pembeli rumah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, setelah penelitian dibuat, pihak syarikat pemaju boleh bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi membangunkan rumah mampu milik untuk rakyat.

Menurut beliau, sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, pihaknya menerima banyak cadangan daripada pelbagai syarikat untuk membangunkan negeri ini.

 Namun menurut beliau, setiap cadangan itu dinilai dan diteliti dari segi kemampuan dan kebolehan syarikat terbabit sebelum membenarkan agensi kerajaan bekerjasama dengan mereka.

“Banyak syarikat sebenarnya sejurus kita ambil alih kerajaan negeri berminat untuk membangunkan negeri ini.

“Namun bagi kerajaan negeri, kita akan meneliti setiap cadangan syarikat pemaju … kebolehan dan kemampuan syarikat pemaju.

“Selepas itu baru kita putuskan syarikat boleh bekerjasama dengan agensi kerajaan agar tidak berlaku projek terbengkalai,’’ katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara agensi Kerajaan negeri Perak dan syarikat-syarikat pemaju perumahan, di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Sementara itu Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong berkata, kesemua projek kerajaan negeri dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang dipilih juga dipilih melalui proses yang sama.

Katanya, pemilihan bukan berdasarkan syarikat yang paling murah tetapi beberapa faktor lain turut dipertimbangkan seperti kekuatan kewangan syarikat, latar belakang syarikat, pengalaman dan kepakaran mereka.

“Projek-projek perumahan sakit biasanya meletakkan harga murah tetapi tidak berkemampuan untuk menyiapkan projek.

“Ada segelintir pihak pula cuba dapatkan projek, bila dapat mereka akan lepaskan kepada pihak lain untuk mendapatkan keuntungan atas angin dan kita tidak akan membenarkan perkara ini berlaku,’’ tegasnya.

Majlis tersebut membabitkan MoU Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bersama empat syarikat pemaju iaitu Syarikat King Ong Sdn. Bhd, Tract Evo Sdn Bhd, Mimbar Nusantara Homes Sdn Bhd dan Syarikat Bimbingan Simfoni Sdn Bhd.