MB Perak Beri Jaminan Nasib 44 Pembeli Rumah Penjawat Awam Terbela

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kerajaan negeri Perak komited untuk meneruskan projek perumahan penjawat awam di Batu Gajah yang terbengkalai untuk memastikan kesemua pembeli dapat memiliki rumah secepat mungkin.

Menteri Besar Dato Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya sedang menyiasat berhubung perkara itu kerana tiada sebarang perkembangan yang dilakukan oleh pemaju perumahan terbabit.

“Perbincangan sedang dijalankan dan setakat ini projek tiada perkembangan (progress) … ada cadangan meneruskan projek dengan pemaju lain termasuk pihak swasta.

“Proses perbincangan dijangka ambil masa dalam tempoh dua minggu … Kita akan berbincang dengan Jabatan Perumahan Negara untuk tawarkan kepada 44 pembeli rumah di bawah usahasama baru, bergantung kepada persetujuan para pembeli,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara agensi Kerajaan negeri Perak dan syarikat-syarikat pemaju perumahan, di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Beliau mengulas laporan Independent.my baru-baru ini yang menyuarakan kekecewaan 44 pembeli Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), di Batu Gajah.

Pembeli terbabit resah kerana harapan mereka untuk memiliki dan mendiami rumah pertama sendiri tidak kesampaian apabila projek yang dijanjikan itu terbengkalai dan menjadi “padang ragut lembu”.

Mereka sudah menandatangani perjanjian jual beli pada tahun lalu dan mengeluarkan perbelanjaan termasuk 10 peratus wang pendahuluan dan kos guaman, namun kecewa pemaju gagal melunaskan pembinaannya hingga kini.

Menurut mereka, projek membabitkan 445 unit rumah mampu milik itu dijadualkan bermula 3 Januari 2017, bagaimanapun hanya tinggal tapak projek tanpa sebarang kerja pembinaan dijalankan.