Peja Pula Cadang UMNO ‘Tutup Kedai’

Reading Time: < 1 minute

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Perak, Dato Seri Ahmad Faizal menepis dakwaaan kononnya parti itu sudah tidak relevan dan patut dibubarkan setelah matlamat menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak telah tercapai pada Pilihanraya Umum Mei tahun lalu.

Menurut Ahmad Faizal, tiada sebab untuk menutup atau membubarkan parti Bersatu kerana parti mendapat maklum balas yang baik dari orang ramai malah sebaliknya berlaku terhadap parti UMNO.

“Tolong beritahu pada sahabat saya, Asyraf Wajdi, saya nak cadangkan UMNO yang patut tutup kedai, Bersatu terima siapa juga tapi akhirnya kita akan tapis mereka yang bersama dengan kemungkaran dan tidak mahu mengaku kesilapan diri … kita tidak boleh terima.

“Biasanya kalau cerita pasal close shop (tutup kedai) ini macam perniagaanlah, kalau perniagaan kita tidak didatangi orang ramai, kita tidak diterima, kita patut close shop.

“Tetapi “kedai” saya ini, parti saya ini didatangi oleh ramai orang, jadi perniagaan kami tengah maju, saya sekarang ini Menteri Besar Perak, kami tak patut tutup (parti),” ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Majlis Perbandaran Taiping dengan Bandaraya Fukuoka, Jepun. Ia sebagai respon ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi semalam yang mendakwa Bersatu tidak mempunyai matlamat tersendiri dan mencadangkan parti itu kembali kepada UMNO, seperti yang dilaporkan oleh media tempatan.