84,000 Pesalah AwAS Bakal Disenarai Hitam – JPJ

Reading Time: < 1 minute

Terdapat lebih dari 84 ribu pesalah trafik berisiko disenarai hitamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana masih tidak menjelaskan bayaran kompaun kamera Automated Awareness Safety System (AwAS).

Menurut Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, dari 98,850 saman yang telah dikeluarkan sejak September 2018 hingga Januari 2019, hanya 10,876 saman telah dilunaskan.

“Jabatan ini telah memulakan pendakwaan pertama kes Awas di mahkamah bermula 7 November 2018 di Mahkamah Gurun, Kedah, Ipoh, Sungai Siput dan diikuti 8 November di Mahkamah Sungai Petani, Sungai Jawi, Taiping dan Tapah.

“Kalau mereka yang sudah disenarai hitam, perlu selesaikan saman dan pihak JPJ serta merta akan kemas kini dalam sistem, tiada sebarang kelonggaran bagi bayaran saman dan mereka perlu membuat bayaran penuh.

“Matlamat utama saman ini untuk memastikan pematuhan undang-undang, sebab itu kita pastikan setiap kamera (Awas) yang dipasang di lebuhraya mempunyai tiga papan tanda amaran bagi jarak kilometer tertentu,”katanya.

Shaharuddin berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Stesen Jabatan Pengangkutan Jalan di Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol (arah selatan) pada Jumaat.

Turut sama ialah Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail dan Pengarah JPJ Perak, Mohd Zawawi Zakarian.