Hidup Mewah Teroka Tanah Secara Haram

Reading Time: < 1 minute

Terdapat peneroka tanah haram yang mengaut hasil negeri dan hidup mewah di luar negara sedangkan kerajaan negeri mengalami kerugian kerana tidak mengutip cukai.

Peneroka ‘korporat’ ini hidup mewah dari hasil pertanian haram berskala besar di negeri Perak. Mereka mengupah pendatang asing tanpa izin bekerja di ladang-ladang mereka mengakibatkan warga tempatan menerima tempiasnya.

Ini didedahkan oleh Menteri Besar Perak, Dato Seri Ahmad Faizal Azumu semalam di Kampar.

Dalam pada itu, kerajaan negeri akan mencari jalan untuk mendapatkan kembali tanah-tanah dari penerokan haram yang masih berdegil mengusahakan tanah milik kerajaan dalam tempoh sejak sekian lama.

Terdapat mereka yang berani menyaman kerajaan kerana menganggap tanah itu milik mereka. 

“Kita akan teliti setiap kes mungkin ada yang sangat degil dan kumpulan yang boleh menganggu tugas penjawat awam apabila mereka nak ambil satu-satu tindakan.

“Sebelum ni pun kalau kita kuat kuasakan tindakan tapi akhirnya mereka akan kembali semula dan Kerajaan juga pastikan kita ada rancangan terus dengan diadakan ladang rakyat dan sebagainya.

“Mereka merasakan apabila menduduki tanah Kerajaan, mereka rasa itu hak mereka … ini sebenarnya merampas hak rakyat dan pelabur asing yang nak masuk ke negara ini susah, termasuk mencipta peluang kerja baru kerana masalah ini,” kata Ahmad Faizal kepada pemberita di perasmian NGO-NGO Prihatin Perak sempena Ipoh Car Free Day pada Ahad.

Kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan dan Usaha Haram Negeri Perak pada 22 Januari lalu untuk menangani isu peneroka tanah haram dan setinggan dianggotai oleh pegawai daerah, GLC dan agensi berkaitan. Dua belas kes berkaitan telah dikenalpasti dan masih ada banya lagi kes penerokaan tanah haram akan diselesaikan dalam tahun ini.