Kerajaan Disaran Tubuh Jawatankuasa Peringkat Pusat Tangani Masalah Alam Sekitar

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kerajaan disaran menubuhkan sebuah jawatankuasa atau majlis di peringkat Pusat untuk menangani masalah alam sekitar di semua negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari  yang membuat saranan ini berkata, penubuhan jawatankuasa itu amat perlu supaya pihak Pusat dan negeri dapat berkongsi maklumat agar tindakan dan dasar menangani isu tersebut berjalan dengan baik.

Menurut Abdul Aziz, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan peruntukan dana tambahan sebanyak RM60 juta untuk menangani masalah alam sekitar baru-baru ini.

“Jadi kita mengharapkan ia dapat disalurkan secara khusus kepada pentadbiran negeri.

“Seperti yang kita semua tahu bahawa walaupun kita melihat bidang kuasa alam sekitar ini terletak kepada negeri tetapi negeri tidak mempunyai dari segi kepakaran, dana dan sebagainya.

“Seperti yang dilihat di Johor dalam isu Sungai Kim Kim, pihak negeri bergantung sepenuhnya kepada agensi Pusat untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya kepada pemberita di program perjumpaan bersama ahli Pertubuhan Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Perak, di Medan Kidd, Ipoh pada Ahad.

Abdul Aziz menambah, perkara ini mungkin tidak disedari ramai kerana dalam Perlembagaan tidak jelas siapa sebenarnya yang mempunyai atau memiliki kuasa.

“Kalau tidak disebut dengan jelas dalam Perlembagaan, maka andaian bahawa perkara tersebut terletak di bawah kuasa negeri. Saya yakin dengan adanya majlis yang dikatakan itu, komunikasi dua hala dapat dilakukan.

“Banyak lagi perkara saya fikir memerlukan perkara itu, warisan dan juga sungai yang semakin tercemar, kalau tidak ada usaha konkrit pihak Kerajaan saya rasa kita juga susah,”katanya