Teresa Harap Pemandu Pelancong Bantu Promosi Minyak Sawit Malaysia

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya diharap supaya dapat mendidik pemandu pelancong tempatan mengenai kebaikan minyak sawit yang dihasilkan dalam negara bagi mempromosikan produk-produk Malaysia, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Menurut Teresa, beliau telah menghantar surat menyatakan tentang perkara itu ke menteri berkenaan, Datuk Mohamaddin Ketapi minggu lepas untuk pertimbangan.

“Minggu lepas saya telah menulis sepucuk surat kepada menteri berkenaan, saya juga memberitahunya secara lisan dan berharap kementerian itu boleh memasukkan pengetahuan berkenaan minyak sawit ke dalam latihan pemandu pelancong.

“Pada asasnya menteri pelancongan memikirkan ini adalah sesuatu yang kami perlu lakukan apabila pelancong datang ke Malaysia, mereka akan mendengar apa yang diutarakan pemandu pelancong, jadi mereka  perlu dilengkapkan dengan semua pengetahuan mengenai kebaikan minyak sawit, katanya selepas melawat ExcelVite Sdn Bhd, di sini hari ini.

Antara yang hadir sama dalam lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia Datuk Dr Kalyana Sundram dan Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia,  Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Teresa juga berharap pihak media dapat membantu menerbitkan lebih banyak berita mengenai kebaikan minyak sawit Malaysia.