Kerajaan Negeri Sumbang Dana Kesihatan RM50 Ribu

Reading Time: 2 minutes

KAMPAR | Kerajaan negeri Perak bersama-sama dengan Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) telah menganjurkan Program Kesihatan Keluarga dan Projek Dana Perubatan Warga Tua Negeri Perak di Aston Settlement di sini hari ini.

Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Wong May Ing adalah yang ketiga selepas program yang sama diadakan di daerah Kinta dan Manjung sebelum ini.

Menurut May Ing, beliau berasa bangga kerana program yang dianjurkan setakat ini mendapat sambutan yang baik dari penduduk setempat. Beliau menyatakan program seumpama itu bakal diadakan di daerah Malim Nawar dan Hulu Perak tidak lama lagi.

Dianggarkan 600 peserta yang mendapat manfaat dari program itu bukan saja mendapat pemeriksaan kesihatan secara percuma dari agensi kerajaan dan swasta, malah mendapat tajaan barangan keperluan daripada Jasmine dan VeryGOOD.

Menurutnya, ramai peserta yang memperoleh manfaat terdiri dari golongan berpendapatan rendah dan ini merupakan satu cabaran kepada kerajaan dan PCSH supaya memperbanyakkan lagi program serupa di tahun depan.

Doktor-doktor yang berkhidmat turut melibatkan diri dalam program ini dengan mengurangkan kos profesyen mereka.

Beliau dalam ucapannya turut mengumumkan peruntukan sebanyak lima puluh ribu ringgit sebagai dana khas kesihatan untuk warga tua Perak.

“Memandangkan PCSH aktif membantu dalam pembangunan sosial dan telah memulakan dana kebajikan yang begitu mesra rakyat, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM50 ribu untuk dijadikan peruntukan khas kepada dana perubatan warga emas Perak,” katanya.

Menurutnya lagi, dana tersebut tertakluk kepada pertimbangan kerajaan negeri ditujukan khas untuk warga emas.

“Sebagai contoh, sekiranya jumlah kos rawatan seseorang pesakit ialah RM18 ribu, pesakit tersebut boleh mendapat dana dari pihak hospital sebanyak 50% daripada kos keseluruhan rawatan, iaitu RM9,000 dan memohon dana perubatan Perak sebanyak RM5,000. Akhirnya pesakit hanya perlu membayar RM4000 selepas ditolak dana gabungan tersebut,” ujar Wong May Ing.

Antara syarat memohon dana ialah warga negara Malaysia berusia sekurang-kurangnya 60 tahun, bermastautin di Perak lebih 10 tahun dan pendapatan isi rumah tidak lebih RM3,000 sebulan.

“Kerajaan Pakatan Harapan sedar bahawa populasi warga tua di Perak semakin meningkat. Oleh itu, kami akan terus berusaha untuk mengadakan perbincangan bersama pihak swasta supaya lebih banyak inisiatif kebajikan dapat disediakan kepada golongan warga tua.” Katanya lagi.