Kerajaan Negeri Tidak Cadang Tukar Lokasi Pusat Pentadbiran

  •  
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes
IPOH, 15 Jan — Kerajaan negeri Perak tidak mempunyai perancangan untuk memindahkan pusat pentadbiran kerajaan negeri di bandar raya ini ke Bandar Meru Raya susulan kekangan kewangan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ketika ini, fokus kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan adalah untuk kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.

“Kerajaan negeri ingin membelanjakan wang dengan memfokuskan kebajikan rakyat dan pembangunan termasuk pembinaan lebuh raya serta perkhidmatan kesihatan,” katanya dalam sidang media selepas menjadi tetamu program Wawancara Bersama Radio dan Berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Mengenai Pencapaian Negeri 2019 di sini hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang ditanya mengenai status cadangan memindahkan pusat pentadbiran kerajaan negeri ke Meru sebagaimana yang pernah dinyatakan semasa sidang DUN pada Ogos 2018.

Pada persidangan itu, Ahmad Faizal memberitahu Dewan bahawa kerajaan negeri bercadang memindahkan pusat pentadbiran ke Bandar Meru Raya yang terletak kira-kira 15 minit dari sini kerana kawasan itu bukan sahaja sedang giat membangun, malah mempunyai banyak pejabat jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan.

Ditanya mengenai status pembangunan semula kediaman rasmi lama menteri besar di Jalan Raja Dihilir di sini, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan ia masih dalam perbincangan dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Perak (UPEN).

Beliau berkata pihaknya menerima pelbagai cadangan pembangunan di tapak itu yang perlu diteliti dan ia dijangka mengambil masa berikutan sesuatu pembangunan yang dilaksanakan akan memberi perubahan landskap di Ipoh.

“Sekiranya terlalu tinggi atau terlalu rendah pun akan memberi kesan. Kita nak lebih ramai orang datang (beri cadangan) jadi akan membuat pilihan yang terbaik untuk orang Ipoh,” katanya.

Mengulas mengenai pemberian hak milik tanah 999 tahun kepada kampung-kampung baharu, menteri besar Perak itu menegaskan setakat ini kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan.

Beliau mengulangi bahawa perkara itu perlu dibincangkan secara terperinci bersama pimpinan tertinggi Pakatan Harapan sebelum mengambil tindakan berdasarkan arahan selanjutnya.

Hari ini, Presiden Majlis Belia Perak Aswannudin Hariffudin menyerahkan satu salinan saman pemula berserta afidavit kepada kerajaan negeri bagi menggesa pihak pentadbiran menangguhkan pemberian hak milik tanah 999 tahun yang dijangka diberikan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

— BERNAMA