Kerajaan Perak Akan Bantu PEKITA Bina Rumah Kebajikan

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak akan membantu menunaikan hasrat dan impian Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua (Islam) Titian Abadi (PEKITA) untuk memiliki sebuah bangunan sendiri bagi keselesaan hidup 25 penghuni rumah kebajikan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, YB Dr Abdul Aziz Bari yang mengumumkan khabar gembira itu berkata, kerajaan negeri akan berusaha memastikan proses pembinaan rumah kebajikan itu di kawasan seluas 2.8 ekar di Ara Payung yang diluluskan kerajaan terdahulu kepada PEKITA dapat dilaksanakan.

Menurut Dr Abdul Aziz, beliau diberitahu ada pemaju telah tampil bekerjasama dengan PEKITA untuk membina rumah kebajikan di kawasan tapak tanah bekas lombong itu.

“Sudah tiba masanya PEKITA mempunyai bangunannya sendiri memandangkan rumah kebajikan sedia ada yang disewa bangunannya di Taman Kinta Perdana dengan kadar sewa bulanan RM800 tidak sesuai lagi untuk didiami kerana sempit dan tidak memberi keselesaan kepada para penghuninya.” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke PEKITA di Taman Kinta Perdana, Lahat pada Khamis. Ketibaan beliau disambut Pengerusi PEKITA, Haji Ahmad Wan Chik.

Pada lawatan itu, Dr Abdul Aziz Bari telah beramah mesra dengan warga emas penghuni rumah kebajikan itu sambil bertanya khabar kesihatan mereka sebelum menyerahkan 10 kotak makanan kepada pihak pengurusan PEKITA.

Sambil memuji kerja amal dan sukarela Pengerusi dan kakitangan rumah kebajikan itu beliau meminta rakyat Perak termasuk pihak swasta, badan bukan kerajan (NGO) dan korporat tampil segera menghulurkan bantuan berupa makanan dan kewangan bagi memastikan PEKITA dapat terus beroperasi menjaga kebajikan 25 penghuni rumah kebajikan itu.

“Bantuan berupa makanan dan kewangan daripada para penderma amat diharapkan bagi memastikan PEKITA dapat meneruskan operasi menjaga kebajikan penghuni-penghuni rumah kebajikan ini,” katanya.

Dr Abdul Aziz membuat lawatan ke rumah kebajikan Orang-Orang Tua (Islam) Titian Abadi (PEKITA) sebaik menerima laporan berita yang disiarkan portal online Independent.my bahawa rumah kebajikan itu sedang berdepan situasi meruncing kerana terputus bantuan wang dan makanan dapur daripada para penderma sejak enam bulan lalu.

Menurut Pengerusi PEKITA, Haji Ahmad Wan Chik, lebih membimbangkan PEKITA masih belum menerima bantuan tahunan sebanyak RM30,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Oktober ini menyebabkan pihaknya menghadapi kesulitan dalam menguruskan penjagaan 25 orang penghuni di rumah kebajikan berkenaan.

Sehubungan itu beliau merayu kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak membantu menghulurkan bantuan segera berupa wang dan makanan dapur kepada PEKITA bagi urusan penjagaan 25 orang warga emas di rumah kebajikan berkenaan.

Menurut Haji Ahmad lagi, semasa pentadbiran kerajaan terdahulu PEKITA ada menerima bantuan bulanan antara RM3,000 ke RM4,000 daripada kerajaan negeri termasuk bantuan bulanan 15 kotak makanan daripada Yayasan Bina Upaya (YBU) namun selepas beralih pemerintahan kepada Pakatan Harapan tiada lagi bantuan serupa itu diterima pihaknya sehingga ke hari ini.
Beliau turut menyentuh perancangan masa depan PEKITA untuk mendirikan sebuah bangunan rumah kebajikan sendiri di atas tapak tanah seluas 2.8 ekar di Ara Payong yang telah diluluskan kerajaan negeri terdahulu.

“Sudah 8 tahun tanah ini tidak dapat kami usahakan kerana kekangan kewangan selain kawasan tanah yang diberikan itu adalah tanah lombong yang memerlukan belanja besar untuk menambak,” katanya.

Memandangkan masalah besar yang dihadapi PEKITA kini semakin meruncing, Haji Ahmad memohon jasa baik orang ramai termasuk badan-badan korporat, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan makanan dan wang kepada PEKITA.
Katanya, orang ramai yang ingin menyumbang bantuan boleh terus menghubungi beliau di talian 013-4793223 atau pejabat 05-3220244.

“Mereka yang ingin menyumbang wang boleh terus menggunakan akaun bank PEKITA iaitu Bank Muamalat (No. Akaun: 08040003058715)