Mahkamah Perintah Ismail Sabri Bayar Pampasan Kepada Ngeh Koo Ham

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Mahkamah Sesyen Ipoh semalam memerintahkan Ahli Parlimen Bera, Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakob membayar pampasan sebanyak RM80,000 dan kos sebanyak RM5,000 kepada Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham kerana membuat fitnah terhadap beliau.

Dato’ Seri Ismail Sabri dalam Facebook beliau pada 1hb Februari, 2015 telah memuatnaik kenyataan kononnya sijil halal restoran Old Town White Coffee kepunyaan Dato’ Ngeh Koo Ham adalah diragui status halalnya. Beliau juga mendakwa Dato’ Ngeh Koo Ham seorang yang anti Islam.

Dato’ Ngeh telah menjelaskan bahawa beliau tidak memiliki saham atau apa-apa kepentingan di dalam syarikat Old Town White Coffee.

Ngeh juga menyatakan bahawa dakwaan anti Islam terhadapnya adalah tidak benar sama sekali. Beliau menjelaskan bahawa sebagai seorang wakil rakyat beliau mengadakan sambutan Hari Raya Aidil Fitri setiap tahun, menghadiri majlis-majlis perkahwinan, pengkebumian dan kesyukuran orang Islam. Beliau juga pernah mengadakan Majlis Berkhatan beramai-ramai untuk masyarakat orang Islam. Ngeh juga mempunyai ramai kawan-kawan yang beragama Islam dan mempunyai pekerja-pekerja yang beragama Islam.

Ngeh sebagai anggota parti DAP berkata DAP mengamalkan polisi memperjuangkan kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Beliau mengajak rakyat menolak fitnah, mengamalkan budaya perkauman sempit.