Kerajaan Perak Akan Tangani Segera Wabak Chikungunya – MB

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Wabak chikungunya yang berlaku di enam kawasan dalam daerah Batang Padang akan ditangani segera, kata Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan bagi menangani wabak itu membabitkan semua agensi dan jabatan kerana ia melibatkan keselamatan awam.

“Saya akan mendapatkan laporan lengkap berkaitan isu ini daripada Exco Kesihatan pada mesyuarat bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.

“Sudah tentunya langkah-langkah wajar akan diambil kerana kita nak pastikan keselamatan rakyat diutamakan,” katanya kepada pemberita di Ipoh pada Rabu.

Beliau diminta mengulas mengenai satu makluman yang tular semalam berkaitan perkembangan terkini wabak chikungunya dalam daerah Batang Padang.

Surat makluman yang tular daripada Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang kepada Pejabat Pendidikan Daerah itu memberitahu, Unit Kawalan dan Pencegahan Penyakit Bawaan Vektor telah mengisytiharkan wabak chikungunya berlaku di enam kawasan dalam daerah Batang Padang.

Kampung Baru Air Kuning dalam mukim Chenderiang telah diletakkan sebagai kawasan hotspot sementara Pekan Bidor – wabak masih dalam keadaan tidak terkawal.

Empat lagi kawasan iaitu Taman Tapah, Taman Tapah Baru, Taman Daya dan Kampung Baru Kampung Pahang sebagai wabak terkawal.

Makluman itu juga memberitahu Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, kuarters kediaman guru di Jalan Pahang, Sekolah Menengah Sains Tapah dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Kampung Pahang berisiko untuk mendapat penularan penyakit.