Kerajaan Perak Lapor SPRM Wujud Dakwaan Penyelewengan Dalam GLC

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Kerajaan Perak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung dakwaan wujud penyelewengan dalam projek sebuah taman tema dikendalikan anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) oleh kerajaan sebelum ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata,  laporan itu dibuat oleh pegawai daripada pejabatnya (Pejabat Menteri Besar) kepada SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Kita melihat projek ini (taman tema) yang telah diperuntukkan sejumlah wang yang kecil pada asalnya tetapi telah melonjak begitu tinggi sehingga melebihi 100 peratus daripada peruntukan asal.

“Selepas kita mengambil alih kerajaan, kita dapati semakin jelas ada kemungkinan berlaku penyelewengan maka kerajaan berpandangan amat sesuai kita menyerahkan perkara ini untuk dijalankan satu siasatan oleh pihak yang berkuasa seperti SPRM.  

“Kerajaan negeri akan sentiasa memberikan kerjasama untuk memastikan kita dapat menyelidik perkara ini sedalam-dalamnya, jika ada berlaku penyelewengan dari mana-mana pegawai kita perlu mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad di Bangunan SPRM Perak di Meru Raya pada Khamis.

 Beliau berkata, kerajaan negeri juga melantik sebuah syarikat swasta bagi membuat audit forensik terhadap syarikat berkenaan.

Ahmad Faizal turut menambah bahawa di zaman kerajaan Pakatan Harapan ini, jika terdapat keganjilan dalam sebarang transaksi atau perjanjian, kerajaan akan menyiasat. 

“Pada mata kasar kita nampak ada keganjilan dan kita perlu ambil tindakan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Bhd (PCB), Chong Zhemin menuntut bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir supaya menjelaskan dan bertanggungjawab terhadap peningkatan mendadak kos pembangunan dan pembinaan Movie Animation Park Studios (MAPS) daripada RM390 juta kepada RM607 juta.

Beliau berkata, walaupun audit dalaman khas mengenai projek itu mendapati tiada sebarang bukti kukuh bagi salah laku atau penipuan, namun wujud persoalan berkaitan beberapa keputusan dan perjanjian berat sebelah yang boleh dibangkitkan dalam hal itu.

Kepada satu soalan pemberita tentang berapa jumlah individu yang terbabit berhubung dakwaan penyelewengan dalam GLC ini, katanya, biar pihak SPRM menjalankan siasatan. 

“Semuanya ada pada SPRM, kita dah serahkan,” katanya.