Perkampungan Bunian Di Kawasan Perkelahan Ulu Chepor?

Reading Time: 3 minutes

Heboh seMalaysia berkenaan kehilangan Acap, ada yang kaitkan dengan orang bunian – kali ni Kulup Lembang nak juga bercerita kisah dan pengalaman Kulup Lembang yang ada kaitan dengan orang bunian.

Kisah Kulup ni tak lah realiti, cuma Kulup dapat alamat dalam mimpi. Dulu, Kulup suka pergi ke kawasan perkelahan di Ulu Chepor. Maklumlah, rumah Kulup pun tak jauh dari situ. Kulup selalu masuk dengan kawan-kawan orang kampung. Kawasan perkelahan Ulu Chepor ni terkenal dengan air sungainya yang sejuk dikelilingi pokok-pokok hutan semulajadi. Sungainya agak cetek, tak sesuai untuk menyelam.

Pernah satu masa Kulup mandi di kawasan hilir sungai, tempatnya tak jauh dari kawasan orang ramai, Kulup terbau limau purut yang kuat. Bau tu datang secara tiba-tiba. Waktu tu dah petang. Kulup buat keputusan untuk berhenti mandi dan naik ke tebing.

Kalau Kulup pergi ke kawasan sungai ni, biasanya Kulup akan meneroka kawasan-kawasan yang jarang orang ramai pergi atau lalu. Kulup pernah naik sampai ke kawasan empangan lama jauh di atas. Nak pergi ke sana, kena bawa parang atau sabit atau alat yang sesuai untuk tebas laluan. Memang tidak ada laluan yang selesa.

Kulup pergi dan bila sampai di atas, kawan-kawan turun mandi. Di atas sana, terdapat batu besar atau lata yang tak ramai orang tahu. Di bawah batu besar itu ada lubuk dan air yang dalam, jadi kalau nak berenang atau menyelam, di sini tempatnya.

Selesai meneroka, kawan-kawan pun dah mandi, kami pulang melalui laluan yang sama yang kami tebas pada awal tadi.

Malamnya, Kulup bermimpi kembali ke sana dengan orang-orang kampung. Kali ini, dalam mimpi, Kulup pergi lebih jauh ke atas. Sampai di satu tempat, Kulup jumpa sebuah jambatan yang cantik yang dibuat untuk dilalui manusia. Bukan jambatan untuk kenderaan.

Kulup melalui melepasi jambatan itu hingga sampai ke suatu kawasan perkampungan yang sangat cantik. Ia seolah-olah sebuah perkampungan tradiional Melayu yang tenang, aman dan damai. Kulup melihat suatu komuniti manusia, lelaki dan perempuan berkulit cerah yang memakai pakaian serba putih yang tidak mempunyai wajah. Ya, tubuh mereka sempurna, tapi wajah mereka tiada. Kosong. Pakaian lelaki seperti pakaian orang menunaikan haji di Mekah manakala perempuan pula berjubah labuh dengan ikatan tali di bahagian pinggang serta menutup kepala mereka sekadar berselendang putih, bukan bertudung. Ada yang tidak berselendang nampak rambutnya yang panjang.

Kulup melalui kawasan yang tak pernah dilihat sebelum ini. Dengan kampung yang serba indah, menghijau, cerah terang benderang kawasannya, Kulup lihat seperti padang menghijau dengan permukaan yang beralun-alun seperti bukit kecil. Padang rumputnya begitu cantik seperti sentiasa dipotong atau dimesin dengan mesin potong rumput dan dijaga rapi.

Di atas setiap bukit dan celah-celah lembah terdapat pondok kayu yang sangat cantik seperti tempat beristirehat. Pondok-pondok itu seperti terbuat dari kayu jati. Kulup melalui beberapa pondok kayu yang cantik dan disambut seorang tua berpakaian serba putih. Kulup tidak nampak wajahnya tapi Kulup merasai seperti sudah diberitahu bahawa itu seorang tua. Beliau tidak bercakap sepatah perkataan pun tapi dari gerak tubuh mereka Kulup tahu mereka menyambut kedatangan Kulup dengan senang hati.

Kulup dilayan sebagai seorang tetamu istimewa. Dihidang dengan makanan yang sedap-sedap dan berbagai hidangan. Kulup nikmati setiap saat itu dengan rasa pelik tapi gembira.

Sampai masa, Kulup minta diri untuk pulang. Mereka menghantar Kulup kembali melalui kawasan lembah menghijau yang dihiasi dengan pondok-pondok kayu seperti terbuat dari kayu jati itu hingga sampai ke jambatan.

Kulup melambaikan tangan mengucap selamat tinggal dan amat berat rasanya meninggalkan kawasan itu.

Akhirnya Kulup terbangun dari tidur dan Kulup masih ingat kandungan mimpi itu dan dapat berkongsi dengan pembaca semua hari ini.

Sekian.


Tulisan di atas adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya selari dengan prinsip dan kepercayaan pihak Editorial Independent.