Kerajaan Teruskan Projek Pembangunan Ikut Kemampuan

Reading Time: < 1 minute

SIDANG DUN | Kerajaan Perak tidak pernah meminggirkan mana-mana daerah dalam melaksanakan projek pembangunan untuk faedah dan kepentingan rakyat.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan kerajaan negeri amat sedar bahawa betapa perlunya projek-projek pembangunan ini diteruskan agar rakyat menikmati hasilnya.

Namun begitu, katanya lagi, ia juga bergantung kepada keupayaan kerajaan dari segi peruntukan kewangan bagi meneruskan pelaksanaan projek-projek pembangunan ini.

Menurut Ahmad Faisal, di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-sebelas (RMKe-11), sebanyak 10 projek bernilai RM1,043,267,300.00 telah dibatalkan pelaksanaannya.

“Perincian projek ini akan saya maklumkan kepada Yang Berhormat (YB) secara bertulis dalam masa yang terdekat ini.

“Walau bagaimanapun, antara projek-projek yang tersenarai dalam kategori ini termasuk menaik taraf laluan 69 dari Parit 19, Hutan Melintang ke Pekan Bagan Datok (RM529.0 juta).

Persimpangan Bertingkat (flyover) dari FT005 ke FT009 Hutan Melintang, Bagan Datuk (RM144.4 juta) dan IPD Bagan Datuk (RM138.0 juta).

Manakala, projek pembangunan yang akan dilaksanakan di bawah RMKe-11, katanya, adalah sebanyak 11 projek bernilai RM1,049,847,958.44.

Antara projek–projek utama yang termasuk dalam kategori ini adalah projek pembinaan Politeknik Bagan Datuk (RM220.0 juta) dan projek pembinaan Kompleks Sukan Bagan Datuk RM39.4 juta.

Selain itu menurut Menteri Besar, terdapat projek-projek pembangunan yang sebelum ini diluluskan di bawah Peruntukan Khas .

“Bagi projek di bawah kategori ini, sebanyak tujuh projek yang bernilai RM21,554,000.00 diteruskan pelaksanaannya dan sebanyak 25 projek yang bernilai RM12,032,500 telah ditangguhkan.

“Projek-projek yang saya maklumkan tadi akan saya kemukakan kepada YB secara bertulis,’’  katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Ahmad Faizal menjawab soalan lisan YB Datuk Shahrul Zaman Datuk Yahya (BN-Rungkup) yang bertanya tentang pekembangan terkini projek-projek pembangunan yang terbatal dan akan diteruskan dalam daerah Bagan Datuk.