Kerajaan Negeri Adakan Sesi Libat Urus Bagi Penyediaan RMK-12

Reading Time: < 1 minute

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) hari ini telah mengadakan sesi libat urus penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12) bersama Kerajaan Negeri Perak.

Sesi libat urus ini dipengerusikan secara bersama oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu, Menteri Besar Perak dan YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, ia bertujuan untuk membentangkan hala tuju pembangunan negara, di samping mendapatkan pandangan dan cadangan mengenai hala tuju pembangunan Negeri Perak yang akan diambil kira dan diperincikan dalam penyediaan RMKe-12.

RMKe-12 akan dirangka berasaskan tiga dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar dan perekayasaan sosial. Bagi menjayakan rancangan pembangunan di peringkat negeri serta melakar masa depan ekonomi baharu, perspektif nasional dan kemampuan atau kekuatan yang dimiliki oleh setiap negeri akan diberi perhatian bagi menjamin pembangunan sosio-ekonomi yang mampan dan saksama.

Kerajaan telah mengenalpasti 15 Bidang Pertumbuhan Utama Ekonomi yang berpotensi untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang pesat dan selaras dengan kehendak negara dan Gagasan Kemakmuran Bersama yang mendasari RMKe-12.

Bagi Negeri Perak, ia merangkumi sektor ekonomi digital, pelancongan, teknologi baru dan pertanian pintar. Melalui bidang-bidang pertumbuhan utama ini, Kerajaan dapat menumpukan usaha menarik pelaburan serta membangunkan ekosistem dan rantaian nilai dalam memacu ekonomi ke hadapan.

Sesi libat urus antara MEA dengan Kerajaan Negeri Perak menjadi titik tolak kepada banyak lagi perbincangan untuk pembangunan ekonomi negara dan Negeri Perak, secara khususnya, supaya Malaysia dapat bangkit kembali sebagai paksi ekonomi serantau bagi mencipta kemakmuran bersama buat semua rakyat.

Turut hadir di sesi libat urus ini ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Tuan Haji Zainal Azman Abu Seman, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan YBhg. Dato’ Muhamad Idris, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) MEA serta ketua-ketua agensi dan jabatan di bawah Kerajaan Negeri dan Jabatan Persekutuan di Perak.