54 Pertubuhan Masyarakat & NGO Bantah Tanaman Padi GMO

Reading Time: < 1 minute

Foto kredit Pressenza.com

Sebanyak 54 organisasi masyarakat dan NGO membantah perlaksanaan ujikaji lapangan secara terkawal tanaman padi yang diubahsuai secara genetik (GMO) yang dikatakan lali terhadap racun glyphosate, kulat dan penyakit disebabkan bakteria.

Permohonan untuk melaksanakan ujikaji di stesen MARDI Tambun Tulang, Arau, Perlis itu sedang dalam peringkat penilaian oleh pihak Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK) dan dihebahkan di laman sesawang Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Menurut kenyataan NGO itu, padi ubahsuai genetik (GMO) yang akan diuji itu berasal dari varieti terkenal Malaysia iaitu MR219 dengan ciri tambahan toleran terhadap racun glyphosate dan rentan terhadap bakteria Xanthomonas Oryzae pv Oryzae dan kulat Pyricularia spp. Padi GMO ini bukan dihasilkan dengan kaedah kacukan biasa tetapi ia dihasilkan di dalam makmal menggunakan teknologi pengubahsuaian genetik dengan mencampurkan bahan DNA dari tiga hidupan berbeza iaitu padi MR219, bakteria Agrobacterium tumefaciens dan padi Japonica.

Kumpulan itu mendakwa penanaman padi GMO di lapangan telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesannya kepada manusia dan alam sekitar.

“Wujud risiko pencemaran terhadap padi liar dan padi konvensional dengan bahan transgenik terubahsuai tersebut apabila ia mula ditanam di lapangan.

“Walaupun penyelidik mendakwa bahawa ujian lapangan ini mempunyai langkah – langkah yang akan diambil untuk mengelakkan aliran gen diubahsuai keluar ke persekitaran antaranya dengan
melaksanakan ujian di kawasan berpagar, genetik asing ini masih boleh dibawa keluar secara tidak sengaja melalui burung atau haiwan lain bahkan jentera dan pekerja,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang dengan Forum Kedaulatan Makanan, Malaysia.

Kumpulan itu menambah, penghasilan tanaman secara genetik adalah tidak stabil dan boleh mengundang kepada perkara yang tidak terkawal seperti penghasilan toksik dan mengganggu ciri-ciri nutrisi, kesan alergik dan mengubah sifat agronomi tumbuhan yang boleh menjejaskan pengeluaran hasil padi MR219.

Berdasarkan kebimbangan-kebimbangan yang dinyatakan, gabungan NGO itu membantah sebarang percubaan untuk menanam padi GMO di negara ini