Kes Pulih Dari Koronavirus Terus Capai Peningkatan

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Jumlah kes sembuh dari koronavirus di Malaysia terus menunjukkan peningkatan walaupun terdapat pertambahan kes baru berbanding semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah, sebanyak 110 kes baru direkodkan sehingga tengahari ini manakala jumlah kes sembuh dan dibenarkan pulang adalah sebanyak 119. Ini menjadikan jumlah kes yang telah sembuh secara keseluruhan adalah sebanyak 2,766 manakala kes yang aktif dan sedang dirawat adalah 2,332. Jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah sebanyak 5,182.

Pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Intensif sehingga hari ini adalah sebanyak 56 dan 29 darinya memerlukan alat bantuan pernafasan. Namun terdapat 1 kematian dilaporkan ke Pusat Respons dan Kesediaan Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia. Kes kematian ke-84 (kes 4,711) itu adalah lelaki warga negara Malaysia berusia 66 tahun dengan sejarah penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.