Kluster Baru Koronavirus Dikesan Dari Bali, Indonesia

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA (Bernama) –  Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti satu lagi kluster baharu iaitu ‘kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Bali’ yang melibatkan golongan pesakit dan beberapa anggota kesihatan dari sebuah pusat perubatan di Kuantan, Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster itu melibatkan kes ke-4,684 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia serta merupakan kontak rapat kes ke-1,575 (abang).

Beliau berkata kes ke-1,575 (meninggal dunia pada 3 April) telah menjangkiti sebanyak tujuh kes generasi kedua dan 11 kes generasi ketiga.

“Sehingga hari ini, 20 orang telah dikenal pasti dalam kluster ini iaitu 14 orang sedang dirawat di wad L Tengku Ampuan Afzan, Pahang; dua orang telah sembuh; tiga orang dirawat di unit rawatan rapi dan seorang telah meninggal dunia (kes ke-1,575),” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah keseluruhan kluster itu, tiga kes melibatkan petugas kesihatan.

Beliau berkata kluster itu dikesan hasil aktiviti tertumpu yang dijalankan KKM melalui proses pengesanan, penyaringan dan ujian ke atas kumpulan sasar berisiko tinggi.

“Seramai 339 kontak rapat telah dikenal pasti dan ujian saringan COVID-19 telah dijalankan, termasuk 202 anggota kesihatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, terdapat 25 kluster dan subkluster COVID-19 di Malaysia, dengan kluster perhimpunan Sri Petaling merekodkan 40 peratus daripada jumlah kes jangkitan.