Koronavirus: 40 Kes Baru, 1 Kematian

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 40 lagi kes positif koronavirus pada hari Isnin (27 April), menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini kepada 5,820.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan perkara itu pada sidang media harian KKM di sini.

Jumlah kes yang telah sembuh dan dibenarkan pulang pula adalah sebanyak 95, yang menjadikan 3,957 pesakit telah pulih di Malaysia sejak wabak itu bermula.

Kadar pu;oh dari penyakit itu kini berada pada 68% daripada jumlah kes positif.

Kini terdapat 1,764 kes aktif yang sedang dirawat di kemudahan kesihatan negara pada masa ini.

Pada masa ini terdapat 37 pesakit yang dirawat di unit rawatan intensif (ICU) dengan 17 orang memerlukan alat sokongan ventilator.

Dr Noor Hisham juga mengumumkan satu kematian baru di negara ini, menjadikan angka kematian di Malaysia akibat wabak itu menjadi 99 orang.

Malaysia kini berada di hari ke-41 perintah kawalan pergerakan (PKP), di mana semua orang diarahkan untuk tinggal di rumah, dan pergerakan dan operasi perniagaan disekat.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan PKP dilanjutkan ke fasa keempat yang akan berakhir pada 12 Mei.