KPDNHEP Perak rampas 419 selipar tiruan berjenama

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Pasukan Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas sebanyak 419 selipar tiruan berjenama dalam satu operasi di Kawasan Perindustrian Menglembu di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak Khalid Tik berkata operasi selama enam jam bermula pukul 10 pagi itu disertai 18 anggota yang turut disertai empat wakil cap dagang.

“Pasukan penguat kuasa telah menyerbu premis itu yang menjual selipar jenama Birkenstock ketika sedang beroperasi untuk perniagaan dan pemeriksaan menemui sejumlah selipar pelbagai saiz jenama berkenaan yang disyaki barang tiruan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati selipar itu dijual kepada pelanggan di sekitar Perak secara borong dengan harga serendah RM7 dan nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan itu dianggarkan sebanyak RM2,933.

Katanya kesemua barang sitaan dibawa ke stor eksibit KPDNHEP Perak untuk siasatan lanjut.

Khalid berkata KPDNHEP memandang serius terhadap peniaga-peniaga yang menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan-barangan berjenama yang melanggar undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Peniaga perlu tahu akan kesalahan yang melibatkan suatu perihal dagangan termasuklah suatu pertunjuk, sama ada secara langsung atau tidak langsung dan yang diberikan dengan apa-apa cara berkenaan dengan apa-apa barang yang berhubung dengan cap dagangan yang berdaftar di bawah Akta Cap Dagang 1976,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan seolah-olah barang-barang itu tertakluk kepada apa-apa hak yang berhubungan dengan cap dagangan berdaftar.

Katanya selain menjaga hak pengguna, KPDNHEP turut memandang serius dalam melindungi hak-hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama bagi membanteras penjualan barang-barang tiruan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur-pelabur asing terutamanya di Perak.

KPDNHEP juga menegaskan supaya peniaga tidak menjual barang berjenama tiruan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melanggar Akta Perihal Dagangan 2011, katanya.

— BERNAMA