MB Sahkan Tiada Rombakan Exco

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menamatkan spekulasi dengan mengesahkan tiada berlaku rombakan barisan exco kerajaan negeri seperti yang didakwa.

Menurut Ahmad Faizal, beliau berpuas hati dengan prestasi semua exco dan tidak akan melakukan tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan negeri.

“Walaupun wujud masalah-masalah kecil dalam kalangan exco namun ia tidak sampai ke peringkat mereka harus digugurkan.

“Saya sangat gembira dengan barisan exco yang saya ada setakat ini, jika ada masalah dan perkara kecil, kita boleh selesaikan.

“Ia bukanlah seperti jika ada exco yang terlupa hendak memaklumkan kepada saya mengenai sesuatu perkara maka saya kena tendang dia keluar, tidak.

“Jadi setakat ini saya tak nampak ada apa-apa perubahan (exco),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di Ipoh pada Khamis.

Menurut Ahmad Faizal, barisan exco kerajaan negeri akan mengangkat sumpah memperbaharui ikrar selepas setahun menjalankan perkhidmatan dalam masa terdekat ini.

Sebelum ini wujud dakwaan  kononnya Dr. Abdul Aziz Bari dan Abdul Yunus Jamsari akan digugurkan dalam senarai rombakan exco.

Abdul Aziz yang memegang portfolio Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar dikatakan akan digantikan oleh ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Abdul Yunus yang merupakan exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamshari pula dikatakan akan digantikan dengan ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Sementara itu pada sidang media yang sama Ahmad Faizal memberitahu pemberita bahawa Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak mensasarkan pelaburan sebanyak RM1 billion bagi pembangunan projek Perak Agro Valley.

Katanya, projek berkenaan akan dilaksanakan di Tanah Ladang Lenggong Agro Valley dimana tanah seluas 1,111.69 hektar atau 2,747,10 ekar telah dikenalpasti dan akan dibangunkan secara konsep integrasi yang dijalankan melalui beberapa fasa.

“Projek ini terletak di Wilayah Bukit Sapi Mukim Lenggong yang turut melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Vaterina, Pertubuhan Peladang Kawasan dan FAMA,” katanya.Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.

Katanya, beliau telah dimaklumkan bahawa, pihak pengurusan PPPNP menyasarkan nilai pelaburan terhadap projek tersebut sebanyak RM1 Billion selaras dengan saranan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohammed untuk menggalakkan industri pertanian serta mempelbagaikan hasil tanaman.

“Kawasan tersebut mempunyai bentuk muka bumi yang rata dan berbukit-bukit dimana pihak PPPNP telah menetapkan konsep tanaman yang berbeza-beza di setiap kawasan seperti tanaman kontan, tanaman sayur-sayuran, dusun buah-buahan dan penyediaan kawasan ternakan, kambing, lembu dan rusa,” katanya.

PPPNP juga mengumumkan kejayaan mencatat pendapatan sebanyak 95.2 juta dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Perkara ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 3.8 Juta dan saya dimaklumkan bahawa jika dibandingkan dengan bajet sehingga April 2019, PPPNP berjaya menunjukkan pencapaian sebanyak 80 peratus.” katanya.