KPLB Teruskan 41 Projek Tertangguh Beri Manfaat Rakyat Luar Bandar

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Rakyat Perak yang tinggal di luar bandar akan mendapat manfaat apabila Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) meneruskan 41 projek pembangunan luar bandar di seluruh negeri yang tertangguh sebelum ini.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, bagi pihak kerajaan negeri beliau menyambut baik langkah KPLB sambil berharap ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat di luar bandar.

“Saya mengucapkan terima kasih kerana beberapa projek yang tertangguh kini dapat diteruskan selepas kita mengadakan rundingan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun di pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Ahmad Faizal juga menyambut baik inisiatif KPLB yang mahu menjadikan negeri Perak sebagai tuan rumah bagi penganjuran Sambutan Hari Orang Asli Peringkat Kebangsaan, pada Oktoberini. Acara yang julung kali diadakan itu bakal berlangsung di Tapah dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Difahamkan, acara yang diadakan itu bersempena Sambutan Hari Kaum Pribumi peringkat antarabangsa.

Sementara itu Rina berkata, keputusan untuk meneruskan kesemua projek yang bernilai RM191 juta itu diputuskan setelah kajian semula, dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan selesai dalam tempoh dua bulan.

Menurut beliau, selain negeri Perak, semua 191 projek KPLB di seluruh negara juga turut diteruskan.

“Antara contoh projek di Perak yang kita teruskan ialah projek menaik taraf Jalan Simpang Raban ke Pengkalan Pipit yang bernilai RM20 juta, serta projek menaik taraf jalan baharu dari Kamunting ke Anak Kurau. Ia dianggarkan bernilai RM91 juta,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan memohon peruntukan tambahan untuk kementeriannya dalam pembentangan bajet yang akan datang, Rina berkata pihaknya akan berbuat demikian sekiranya ia mempunyai keperluan namun jelasnya, ia tetap bergantung kepada kedudukan semasa kewangan negara.