Spesies Keruing Paya Kini Sudah Pupus Angkara Manusia

Reading Time: < 1 minute

Spesies pokok keruing paya (nama saintifik Dipterocarpus coriaceus) sedang mengalami kepupusan sejak habitat asalnya dihapuskan untuk memberi ruang kepada penanaman pokok kelapa sawit.

Di Malaysia, pokok keruing paya terdapat secara eksklusif hanya di daerah Perak Selatan iaitu Bidor dan Batang Batang. Hutan Simpan Ladang Bikam di Bidor merupakan habitat semulajadi terbesar keruing paya yang terakhir. Menurut Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam dan Sumber Asli, spesies keruing paya berada di tahap terancam kritikal.

Apabila Hutan Simpan Ladang Bikam digazet semula untuk penanaman kelapa sawit pada 2013, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) meletakkan spesies keruing paya sebagai spesies yang sudah pupus di kawasan liar.

Meskipun demikian, spesies keruing paya dilaporkan masih boleh ditemui di dalam Hutan Simpan Chikus dalam daerah Batang Padang.

Malangnya, pada Februari 2017, pihak berkuasa negeri telah memansuhkan status Hutan Simpan Chikus seluas 663.4 hektar.

Hari ini, terdapat pengusaha yang menunjukkan minat untuk mengusahakan tanaman tembikai di sini. Kumpulan pemulihara alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri tidak meluluskan projek tanaman tembikai di sini dan Jabatan Perhutanan Negeri pula digesa tidak menyokong cadangan itu.