Peniaga Medan Kidd Mohon Kerajaan Buat Sesuatu

Reading Time: 2 minutes

IPOH – Peniaga di medan selera Medan Kidd, Ipoh mengadu perniagaan mereka kini merosot sejak stesen bas ekspres berpindah ke terminal baru di Bandar Meru Raya.

Menurut encik Zainal bin Itam, yang membantu kakaknya berniaga di salah satu kedai di sini, sejak ketiadaan terminal bas ekspres, pengunjung ke kawasan ini sudah berkurang secara drastik.

Peniaga di sini sudah tidak dapat menjana keuntungan seperti dahulu, ada yang sudah menutup perniagaan mereka dan berpindah mencari tempat lain untuk berniaga. Manakala banyak kedai yang kosong tidak ada penyewa.

Menurut Zainal lagi, perniagaan di sini hanya bergantung kepada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat di mana pekerja pejabat sarapan pagi atau makan tengahari di sini. Di waktu yang lain, tempat ini kosong tidak ada pelanggan. Kebiasaannya, peniaga akan mula menutup kedai mereka selepas waktu tengahari pada hari Jumaat dan mula membuka semula perniagaan pada Isnin berikutnya pada hari bekerja. Pada hari-hari cuti dan kelepasan am, tidak ada orang yang datang ke sini kerana tiada apa-apa tarikan yang boleh menarik orang ramai untuk datang ke sini.

Beliau berharap kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan yang baru dapat berbuat sesuatu agar tempat ini kembali meriah menjadi tempat orang ramai berkunjung seperti dahulu. Beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan ‘gerbang malam’ di sini seperti yang ada di Medan Selera Dato’ Tahwil Azar sekarang. Dengan itu ia dapat membantu para peniaga di sini menjana pendapatan dan membayar sewa bulanan dan membayar gaji pekerja.

Tinjauan Independent mendapati terdapat sebilangan lot kedai yang ditutup dan yang kosong tidak ada penyewa. Keadaan di sini memang kelihatan lengang dan suram tidak seperti zaman kegemilangan dahulu dimana terdapat terminal bas ekspres dengan ulat-ulat tiket yang menjerit-jerit mencari dan menyapa bakal pelanggan mereka cuba menjual tiket bas ekspres.