KPN Beri Amaran Peserta Himpunan Tabligh Agar Jalani Pemeriksaan

Reading Time: < 1 minute

Pihak polis akan mengambil tindakan drastik membawa mereka yang pernah menyertai perhimpunan tabligh di masjid Sri Petaling untuk diperiksa dengan bantuan dari Kementerian Kesihatan, menurut Ketua Polis Negara, Abdul Hamid bin Bador.

Pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi mengesan peserta himpunan tersebut telah menjejaki 7,671 individu yang pernah menyertai himpunan itu bulan lepas.

“Kementerian kesihatan juga telah membekalkan senarai peserta tabligh yang telah disaring.

“Jadi kita akan membandingkan nama-nama dan kita akan tahu berapa ramai yang belum pergi untuk pemeriksaan, “katanya dalam satu sesi di siaran tv tempatan.

Pasukan khas itu di bawah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamad akan mengendalikan mereka yang mengelak dari menjalani saringan kesihatan selepas diarahkan oleh kementerian kesihatan.

Sebelum ini pasukan itu telahpun mengambil tindakan hasil maklumat dari orang awam yang mengesyaki jiran mereka pernah menyertai himpunan itu.

Kira-kira 16,000 orang termasuk 1,500 warga asing dilaporkan telah menyertai perhimpunan di masjid itu dari 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Hari ini, 2 lagi kematian direkodkan menjadikan jumlah kepada 6 kematian akibat koronavirus. Sebanyak 153 kes jangkitan terbaru disahkan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,183 kes di seluruh negara.