Kumpulan Pro & Anti Zuraida Berhimpun Di PJ

Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA | Kumpulan pro dan anti-Zuraida Kamaruddin berkumpul di hadapan ibu pejabat PKR Petaling Jaya hari ini ketika naib presiden parti itu yang diwakili Setiausaha Politiknya, Noor Hizwan Ahmad hadir bagi menyerahkan surat penjelasan bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar oleh Lembaga Disiplin Parti pada 15 Jan lalu.

Kumpulan pro-Zuraida di beberapa lokasi di seluruh negara turut berhimpun sebagai tanda solidariti untuk menyatakan sokongan terhadap Zuraida tengahari tadi. Kumpulan anti- Zuraida pula kelihatan berhimpun di hadapan ibu pejabat parti itu membawa poster mencadangkan Zuraida dipecat dari parti.

Anggota polis kelihatan berkawal di sekitar kawasan ibu pejabat bagi menjarakkan kedua-dua kumpulan.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan memberi amaran supaya kedua-dua kumpulan penyokong itu bersurai atau berdepan dengan tindakan disiplin.

“Tindakan menyokong atau membantah di mana-mana lokasi lain juga sama sekali tidak akan mempengaruhi Lembaga Disiplin yang harus membuat keputusan secara bebas, ”katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zuraida dan memberi tempoh 14 hari untuk memberi penjelasan berhubung ucapannya yang mengkritik pimpinan parti di sebuah hotel pada awal bulan lalu.