MB Perak Henti Lantikan Koon Yew Yin Cemar Institusi DiRaja

Reading Time: 3 minutes

Langkah tegas diambil Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu tidak meneruskan lantikan tokoh perniagaan, Koon Yew Yin sebagai ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak kerana mencemar nama baik Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah dan institusi Kesultanan Perak sebagai tepat.

Tokoh perniagaan itu yang membuat dakwaan biadap terhadap Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah berhubung amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran negeri Perak di awal pemerintahan Almarhum sebagai Sultan Perak dianggap serius kerana menjatuhkan kredibiliti dan imej institusi raja.

Tindakan Koon Yew Yin menghina Sultan Perak sekaligus mengheret pihak istana dengan membuat dakwaan yang tidak benar tidak harus dibiarkan terlepas malah perlu segera dikenakan tindakan tegas.

Jangan pula nanti ada pihak yang cuba `menangguk di air keruh’ memainkan isu ini sebagai isu perkauman kerana sudah terang lagi bersuluh tindakan biadap Koon Yew Yin sudah menghina kedaulatan Raja Melayu dan institusi diraja.

Sebagaimana yang diperjelaskan oleh Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu bahawa kerajaan Pakatan Harapan amat memandang serius sebarang perbuatan yang menjatuhkan kredibiliti dan imej institusi di Raja Perak.

Beliau mendapati tindakan Koon Yew Yin yang mencemar nama baik Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah dan Institusi Kesultanan Perak tidak dapat diterima dan dipertahankan.

“Tambah diburukkan lagi dengan tindakan Koon Yew Yin hari ini memuat naik status di laman sosial yang berbentuk andaian tanpa sebarang asas bahawa Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah cuba campur tangan dalam perlantikan beliau sebagai ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak.

Ahmad Faizal Azumu menafi dakwaan wujud campurtangan pihak Istana Perak berhubung keputusan tidak meneruskan lantikan tokoh perniagaan Koon Yew Yin sebagai ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak yang tular di laman sosial hari ini.

Faizal berkata, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam keputusan berkenaan.

“Saya mengambil maklum dakwaan oleh tokoh perniagaan Koon Yew Yin bahawa wujud campurtangan pihak Istana Perak berhubung keputusan tidak meneruskan lantikan beliau sebagai ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak, seperti mana yang dimuat naik dalam akaun laman sosial beliau awal hari ini.

“Sebagai Menteri Besar, saya ingin menegaskan bahawa Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sama sekali tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam keputusan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat.

Malah katanya, keputusan untuk tidak meneruskan lantikan Koon Yew Yin adalah keputusannya sendiri dan budi bicara sebagai Menteri Besar yang mencadangkan tokoh-tokoh untuk dilantik menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak.

“Untuk makluman, keputusan itu dibuat susulan tindakan Koon Yew Yin membuat dakwaan yang sangat serius terhadap Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah, berhubung amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran negeri Perak di awal pemerintahan Almarhum sebagai Sultan Perak.

“Sebagai bekas Ketua Hakim Negara dan Yang di Pertuan Agong yang ke-9, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah sentiasa disanjung oleh rakyat dari segenap lapisan masyarakat sebagai Raja yang berjiwa rakyat dan telah meninggalkan legasi yang begitu besar kepada pembangunan negeri Perak dan juga negara.

“Sebagai pentadbiran yang tegas dalam mempertahankan Perlembagaan Negara dan Institusi Raja-Raja Melayu yang memayungi rakyat jelata dari semua kaum dan agama, kerajaan negeri Pakatan Harapan memandang serius sebarang perbuatan yang menjatuhkan kredibiliti dan imej institusi diraja.

“Justeru saya telah memutuskan untuk tidak meneruskan khidmat beliau sebagai ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak dan menafikan sekeras-kerasnya sekali lagi bahawa tidak ada campur tangan pihak Istana Perak dalam perkara ini,” katanya.