Latheefa Pilihan Perdana Menteri Ketuai SPRM

Reading Time: < 1 minute

Pelantikan peguam dan juga aktivis hak asasi manusia, Latheefa Beebi Koya, 46, sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru adalah pilihan Tun Mahathir sendiri tanpa membincangkan dengan kabinet.

Ini diakui sendiri oleh Mahathir senndiri semasa acara rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana, Putrajaya semalam.

“Saya tak perlu minta kebenaran kabinet siapa yang harus saya luluskan,” kata Tun.

Tambahnya, beliau memilih Latheefa kerana perwatakannya yang tegas.

“Sebab dia sangat tegas, dia kata apa yang betul.

“Dia tak berlapik, kita perlukan perwatakan yang tegas,” katanya kepada pemberita.

Lateefa memang dikenali sebagai seorang yang lantang mengkritik tidak kira siapa sama ada Barisan Nasional ataupun Pakatan Harapan. Beliau suka bercakap perkara yang betul tanpa berselindung.

Dalam perkembangan lain, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa pelantikan Latheefa Koya itu tidak dimaklumkan kepada kabinet. Beliau cuma mengetahuinya melalui laporan media.

Namun beliau yang juga Setiausaha Agung PKR mengakui ada menerima surat keluar dari parti PKR serta merta dari Lateefa. Surat tersebut ditujukan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Jun melalui e-mel.

Pelantikan Latheefa diumumkan semalam berkuat kuasa 1 Jun lalu untuk kontrak selama dua tahun.

Beliau menggantikan tempat Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan tempoh kontrak yang masih tinggal kira-kira setahun lagi iaitu pada 17 Mei 2020.