Perak tumpu usaha bina semula pembangunan negeri

Reading Time: < 1 minute

IPOH, 5 Jun (Bernama) — Kerajaan negeri Perak kini menumpukan sepenuh tenaga dan iltizam untuk membela nasib rakyat dengan meneruskan agenda pembangunan, bagi memenuhi harapan membina semula negeri serta mengembalikan kegemilangan tanah tercinta.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pihaknya tidak hanya memberi tumpuan kepada angka-angka pertumbuhan ekonomi dan pelaburan semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata dalam membina semula negeri, pihaknya memberi tumpuan untuk mengimbanginya dengan peningkatan Indeks Kebahagiaan, dalam kalangan rakyat.

“Bagi menzahirkan impian ini, usaha-usaha telah digerakkan untuk mewujudkan hasil-hasil baharu kerajaan negeri, dan mengimbangkan kelestarian alam sekitar serta kebergantungan kepada sumber tradisional seperti pembalakan, pelombangan ataupun aktiviti kuari,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Majlis diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada kira-kira pukul 4 petang.

Namun Ahmad Faizal berkata matlamat untuk mempelbagaikan sumber kekayaan negeri dan menarik pelaburan tidak akan tercapai, jika tiadanya kestabilan politik.

“Tatkala kita meraikan perbezaan pandangan politik selari dengan amalan politik matang, batasan-batasan wajib dijaga, supaya ia tidak menjadi elemen yang memecah-belahkan ummah,” katanya.

Terdahulu, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan negeri Perak yang bermula dari pukul 2.30 petang hingga kira-kira 6.30 petang berlangsung dalam suasana yang meriah dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung.

— BERNAMA