Lautan Manusia Banjiri Sekitar PWTC

Reading Time: < 1 minute

Ribuan rakyat yang rata-rata merupakan penyokong parti politik UMNO dan PAS berhimpun di ibu negara hari ini bagi menyatakan sokongan mereka kepada jalinan kerjasama antara dua parti dalam Himpunan Penyatuan Ummah.

Fenomena itu bukan saja dapat dilihat di sekitar bandaraya malah di Bangunan PWTC yang sinonim dengan warna merah parti UMNO sudah dibanjiri oleh warna hijau putih.

Sebuah portal tempatan melaporkan setiap tingkat di bangunan PWTC dibanjiri oleh penyokong kedua-dua parti melimpah ke luar bangunan sehingga sukar untuk berjalan kerana setiap ruang dipenuhi manusia dengan suasana hiruk pikuk orang ramai.

Pengangkutan awam seperti LRT juga turut dipenuhi oleh mereka yang berpakaian jubah dan berkopiah serta muslimat yang bertudung labuh hendak menuju ke lokasi perhimpunan itu.

Mereka datang dari seluruh pelusuk tanahair bagi menzahirkan sokongan dan menyaksikan perisitwa bersejarah iaitu penyatuan kedua-dua parti terbesar Melayu di negara ini.

Satu paparan video di Facebook menunjukkan rakaman lautan manusia memenuhi setiap ruang yang ada di beberapa lokasi di bandaraya KUala Lumpur. Rakaman itu dibuat dari dalam trem LRT yang seang bergerak.

PAS dan UMNO mula merapatkan hubungan dan menjalin kerjasama selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Melalui Himpunan Penyatuan Ummah pada hari ini, PAS dan Umno kini secara rasmi telah memeterai piagam kerjasama mereka untuk bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya yang akan datang.