Legasi Chong Wei terpahat dalam sejarah sukan Malaysia

Reading Time: 2 minutes

Oleh Mohd Mazani Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) — Keputusan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei menggantung raket setelah hampir dua dekad mengabdikan diri dalam arena badminton merupakan satu kehilangan besar kepada sukan tanah air.

Linangan air mata mengiringi keputusan mengejut itu yang diumumkan sendiri oleh Chong Wei pada sidang media khas di Menara Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya, hari ini, dengan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya, Steven Sim serta Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu menempuh pelbagai suka duka sepanjang 19 tahun beraksi sebagai pemain negara, dengan pencapaian terbaik adalah meraih pingat perak pada tiga temasya Sukan Olimpik — 2008 di Beijing, 2012 di London, dan 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Pemain berusia 37 tahun itu turut meraih pingat perak sebanyak tiga kali pada Kejohanan Dunia — 2011 di London; 2013 di Guangzhou, China dan 2015 di Jakarta, selain pingat gangsa edisi 2005 di Anaheim, Amerika Syarikat.

Kejayaan 12 kali menjuarai Terbuka Malaysia juga jelas merupakan satu rekod yang tidak mampu dicabar oleh mana-mana pemain tempatan sehingga kini walaupun segelintir peminat tempatan menggelar beliau sebagai ‘jaguh kampung’ kerana hanya tampil cemerlang di laman sendiri.

Untuk rekod, Chong Wei muncul juara Terbuka Malaysia pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014, 2016 dan 2018.

Mengimbau kembali perjalanan karier Chong Wei, beliau meraih gelaran pertama pada Kejohanan Satelit Malaysia 2003, sebelum muncul juara Terbuka Malaysia buat julung kalinya pada 2004 dan terus mengorak langkah memenangi Terbuka Malaysia buat kali kedua selain Terbuka Denmark pada 2005.

Tahun 2010 merupakan detik paling cemerlang untuk Chong Wei apabila meraih sembilan gelaran Siri Super, namun agak terkilan kerana gagal meraih sebarang pingat emas atau kejuaraan dalam tiga temasya sukan berprestij antarabangsa – Sukan Asia, Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia – sepanjang kariernya.

Susulan pelbagai kejayaan dimenangi di pentas antarabangsa, Chong Wei menerima gelaran Datuk daripada kerajaan Pulau Pinang pada 2008 dan kerajaan pusat pada 2017, selain gelaran Datuk Wira daripada kerajaan Melaka pada 2016.

Kejayaan cemerlang beliau di pentas antarabangsa turut mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak termasuk dipilih sebagai pemain terbaik tahunan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebanyak lima kali — 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2016, selain empat kali meraih Anugerah Olahragawan Kebangsaan pada 2005, 2008, 2011 dan 2012.

Chong Wei boleh disifatkan sebagai ‘Raja Siri Super’ kerana meraih 47 gelaran, selain turut merekodkan 705 kemenangan sepanjang berkecimpung dalam dunia badminton.

Beliau turut melakar sejarah tersendiri apabila memegang gelaran sebagai pemain nombor satu dunia sebanyak 348 minggu dari 2008 sehingga 2013.

Namun, pepatah ada menyebut ‘hidup tidak selalunya indah, langit tidak selalu cerah’, itulah perumpamaan tepat untuk Chong Wei yang disahkan menghidap kanser hidung pada September 2018, walaupun beliau merupakan seorang yang bergiat aktif dalam sukan.

Sejak itu, beliau mengambil keputusan berehat sementara daripada dunia badminton bagi memberi fokus kepada rawatan susulan di Taiwan sebelum mengambil keputusan bersara pada hari ini.

Kini, Chong Wei dianggap sebagai legenda sukan negara dan sukar untuk mencari pengganti yang mampu mengikut jejak langkahnya dalam tempoh terdekat.

— BERNAMA