Tingkah Laku Pemimpin Sebuah Parti Melambangkan Kebencian Mereka Terhadap Islam – Datuk Azhar

Reading Time: 2 minutes

“Sesiapa yang menentang (tidak mengekstradisi) Dr. Zakir Naik adalah orang-2 yang membenci Islam.

“Walaupun mulut mereka tidak menyebut mereka membenci Islam, tapi tingkah laku mereka melambangkan mereka benci kepada Islam, orang Melayu dan Raja-raja,” demikian menurut Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Datuk Dr. Azhar Ahmad dalam satu wawancara dengan Independent di Ipoh pada Rabu lalu.

Menurut beliau, situasi itu jelas boleh dilihat apabila agama Islam dihina di negara ini, orang-orang ini diam membisu seribu bahasa tetapi apabila Dr. Zakir Naik berhujah dengan menggunakan fakta dengan memetik ayat-ayat dari kitab pelbagai agama sehingga mendorong ramai penganut agama lain memeluk Islam, Zakir dituduh ‘racist’.

“Kerana mereka tidak dapat mengenakan tuduhan sebagai pendakwah, mereka tuduh dia (Zakir) terlibat dalam pengubahan wang haram,” kata Datuk Azhar.

Datuk Azhar berpendapat Tun Mahathir melihat secara keseluruhan dalam kenyataannya untuk tidak mengekstradisi Dr. Zakir Naik. Ada kelompok tertentu di dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan UMNO sendiri turut menyokong kenyataan Tun Mahathir.

Katanya orang-orang yang membantah kenyataan Tun Mahathir terdiri dari pemimpin ‘sebuah parti’ dan beliau tidak perlu menyebut pemimpin dari parti mana kerana ramai sudah sedia maklum siapa mereka.

Menurutnya lagi, orang-orang ini berfikir di era Pakatan Harapan mereka boleh bercakap apa saja, hatta Raja-Raja.

“Kesetiaan kepada Raja dan negara adalah termasuk dalam (salah satu dari) rukun negara, tetapi ia tidak wujud lagi hari ini.

“Hari ini mereka fikir mereka bebas, boleh bercakap apa saja.

“Mereka melihat kesemuanya dari sudut politik … tidak melihat dari sudut kasih sayang, silaturrahim dan keharmonian negara.

“Mereka mengeluarkan macam-macam kenyataan yang boleh menghuru-harakan negara, ini yang berlaku hari ini.

“Apabila kita mempertahankan Dr. Zakir Naik, kita lihat orang-orang ini bersuara,” kata Datuk Azhar.

Beliau sebelum itu menyentuh tentang kesetiaan kepada Raja dan negara harus ditunjukkan dengan perbuatan bukan setakat lafaz di mulut sahaja.

“Yang Di-Pertuan Agong secara simbolik adalah ketua kerajaan manakala Perdana Menteri sebagai menjalankan tugas-tugas kerajaan, kita harus setia kepada mereka,” katanya.

Perbuatan mempertikai kenyataan Tun Mahathir adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.