Polis Buka Kertas Siasatan Video Lucah Didakwa Libatkan Menteri, Haziq Buat Laporan Polis

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, polis setakat ini menerima satu laporan berhubung kes video yang tular di media sosial itu.

“Tindakan akan diambil sebagaimana laporan polis dibuat bagi apa jua isu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini, hari ini.

Polis juga akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ditanya sama ada individu yang terlibat dalam video boleh dikenakan tindakan, Abdul Hamid berkata: “Dalam proses siasatan (individu berkenaan) boleh dipanggil, boleh tidak dipanggil. Kita panggil mana yang berkenaan. Kes masih dalam siasatan.”

Abdul Hamid juga berkata orang yang mengedar video berkenaan boleh diambil tindakan.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam video lucah. Pagi tadi, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya serta laporan qazaf berkaitan isu penyebaran video lucah itu di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Putrajaya. 

Rentetan dari itu, Haziq Aziz, pemuda yang mengaku terlibat dalam video lucah berkenaan pula tampil membuat laporan polis di balai polis Kelana Jaya hari ini dengan niat untuk menyangkal tuduhan yang dilemparkan terhadapnya yang dibuat oleh “netizens, cybertroopers, Hilman Idham serta yang lain-lain.”

Beliau juga memberi alasan bimbangkan keselamatannya. Beliau mendakwa dirinya diancam, diugut dan dimanipulasikan.

Haziq yang juga merupakan Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama telah digantung tugas berkuatkuasa serta merta.

Menurut timbalan menteri itu, Shamsul Iskandar Md Akin, surat tunjuk sebab telah dikeluarkan dan Haziq mesti menjawap dalam tempoh tiga hari bermula 12 Jun 2019.