Mahasiswa MBBS UniKL Santuni Tradisi Etnik Banjar

Mahasiswa MBBS UniKL Santuni Tradisi Etnik Banjar

BAGAN SERAI: Seramai 71 mahasiswa tahun satu MBBS, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) telah mengadakan Program Jelajah Etnik 2019 di perkampungan etnik Banjar di Bagan Serai kelmarin.

Program ini mendapat sokongan dan kerjasama Pejabat Menteri Besar Perak, Persatuan Keturunan Banjar Perak dan Pejabat Ahli Parlimen Bagan Serai serta penduduk Kampung Jalan Banjar.

Pensyarah Penasihatnya, Ibrahim Ahmad berkata, selain memenuhi silibus mata pelajaran Hubungan Etnik, program ini juga membuka minda mahasiswa untuk mengenali adat dan tradisi etnik Banjar.

Antaranya adat meraikan pasangan pengantin, masakan tradisi dan kuih-muih yang masih dipertahankan hingga hari ini.

“Saya berharap bakal-bakal doktor ini bukan sahaja dapat mengetahui dan memahami  nilai dan tradisi Banjar malah berusaha menyebar luaskan kepada pelbagai kaum di negara kita.

“Bahkan kuih tradisi etnik Banjar iaitu Balungan Hayam dan Wadai Kiping boleh dikomersialkan sebagai tarikan dalam industri pelancongan.

“Begitulah juga adat berpukong atau menidurkan anak secara duduk wajar diketengahkan seperti produk pelancongan berasaskan etnik” katanya.

Menurut Pengarah Program Muhammad Irfan Hizami, beliau memang berasa bangga kerana dapat mengetahui pelbagai adat dan tradisi etnik Banjar yang selama ini hanya diketahuinya melalui bacaan sahaja.

“Saya amat berharap program seperti ini wajar diteruskan agar para mahasiswa menghargai tradisi nenek moyang terdahulu.

“Terima kasih kepada UniKL RCMP dan semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini,” katanya.

Seorang peserta yang ditemui, Nurul Haziqah Zainordin pula berpendapat program ini sangat memberi manfaat kepada mahasiswa, terutamanya yang bukan etnik Banjar.

“Saya ama berharap Jelajah Etnik ini akan menjadi sebahagian daripada promosi  pelancongan di negeri Perak dan Malaysia … Para mahasiswa seharusnya didedahkan  dengan pelbagai adat tradisi masyarakat setempat sebelum dapat disebarkan kepada orang lain,” ujarnya.

Sebelum acara penutup yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kerian, Muhammad Sabli Bakri, para mahasiswa turut menziarahi beberapa orang penduduk yang uzur, melawat sawah padi dan memancing ikan melalui acara Pencarian Raja Parit.

Kongsi Artikel Ini

Facebook Comments